Beringatlah sebelum kena

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEORANG sahabat bekerja di sebuah syarikat percetakan. Tekanan kerja mempengaruhi kehidupannya terutama untuk memenuhi tarikh akhir (deadline). Dia juga seorang perokok tegar. Pencinta rokok kretek sejak dibangku sekolah lagi.

Pada masa yang sama, sejak kebelakangan ini dia tak pernah bersukan atau menyertai aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh. Makan pula berselera. Pantang tolak. Tak pernah terfikir pun nak diet. Balik kerja tengah malam terus makan. Lepas makan, dia tidur.

Satu hari ketika sedang bekerja, secara tiba-tiba dia mengalami kesakitan pada kedua-dua bahu, muntah dan berpeluh. Tangan kiri terasa kebas. Dia terus jatuh dan tidak sedarkan diri. Syarikat segera menghantarnya ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Alangkah terkejutnya apabila doktor mengesahkan ada saluran ke jantung yang tersumbat. Untuk melakukan pembedahan sudah tentu memerlukan kos yang tinggi. Tetapi dia tidak punya pilihan lagi. Insurans syarikat pula tidak mencukupi. Ketika itu baru dia menyesal kerana tidak mengambil polisi insurans.

Sebenarnya masih belum terlambat untuk untuk membuat persediaan awal dengan membeli insurans. Dalam umur yang semakin lanjut dan satu demi satu penyakit datang - kadang kala dalam bentuk pakej - kita perlukan satu polisi insurans yang melindungi kita dan keluarga.

Stigma masyarakat mengenai produk insurans dan takaful yang hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja menyebabkan ramai beranggapan mereka masih sihat dan tidak memerlukannya ketika ini. Setakat ini hanya 56 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia yang memiliki polisi perlindungan insurans.

Kita kena ingat insurans syarikat hanya melindungi kita ketika masih berkhidmat. Selepas tidak bekerja semua atas tanggungan sendiri. Lebih malang kalau ditamatkan khidmat selepas sakit. Ketika itu nak beli insurans pun tak guna.

Kita sekadar menasihati berdasarkan pengalaman. Bak kata seorang rakan, beringatlah sebelum kena.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!