Himpunan #KeadilanBuatAdib diteruskan walau tanpa kebenaran
IPOH - Penganjuran Himpunan #KeadilanBuatAdib yang dijadual berlangsung esok di Padang Ipoh akan diteruskan walaupun tidak mendapat kebenaran pihak polis.
Ketua Setiausaha Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Hamdan Mohd Salleh berkata, pihaknya terpaksa meneruskan himpunan itu kerana tarikh esok adalah simbolik anggota bomba yang terkorban, Muhammad Adib Mohd Kassim akan melangsungkan pernikahan.
“Program ini bertujuan untuk bersolidariti terhadap pemergian wira negara dan orang ramai dijemput hadir sebagai tanda sokongan dan digalakkan memakai pakaian berwarna hitam.
"Kita akan pastikan perhimpunan ini berlangsung dengan aman. Esok kita akan mulakan dengan ucapan sebelum diakhiri dengan bacaan tahlil buat Allahyarham Muhammad Adib," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, permohonan dibuat ]penganjur tidak dapat diluluskan kerana tidak mematuhi syarat ditetapkan.
“Berdasarkan Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012, permohonan perlu dibuat 10 hari sebelum penganjurannya,” katanya.
Perhimpunan #KeadilanBuatAdib dijadual berlangsung bermula jam 2 petang di Padang Ipoh melibatkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!