Penduduk bengang, lif tak siap-siap

Antara penduduk yang hadir menyatakan rasa tidak puas hati di sini, hari ini.
Antara penduduk yang hadir menyatakan rasa tidak puas hati di sini, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penduduk di Taman Larkin Idaman Plot C menuntut kerajaan mengambil tindakan segera berhubung isu projek pembinaan 14 buah lif bagi tujuh blok pangsapuri yang masih belum disiapkan selepas lewat lebih empat bulan.

Sehingga kini hanya dua lif yang dikatakan telah siap namun bukan sepenuhnya susulan masih belum mendapat kebenaran untuk beroperasi selain beberapa kerja akhir yang masih belum lengkap.

Pengurus Bangunan, Shanmugan Kuppandy berkata setiap hari pihaknya menerima aduan dan rungutan penduduk berkaitan lif.

Katanya, setiap bangunan menggunakan sebuah sahaja lif asal dan apabila mengalami kerosakan kos baik pulih terpaksa ditanggung oleh penduduk sehingga mencecah RM15,000.

Shanmugan menunjukkan kerja akhir yang masih belum selesai pada lif tersebut.
Shanmugan menunjukkan kerja akhir yang masih belum selesai pada lif tersebut.

"Kita faham penduduk marah apabila mereka sudah bayar fi penyelenggaraan RM99 sebulan tapi lif asyik rosak. Kadang-kadang sampai seminggu.

"Mereka fikir kami makan duit dan sebagainya tapi sebenarnya projek penyelenggaraan baik pulih lif ini di bawah kerajaan yang dah bermula tahun lepas tapi sampai sekarang tak siap-siap.

"Lif di setiap bangunan ada dua tapi satu sedang diselenggara oleh kontraktor dilantik kerajaan dan satu lagi lif lama digunakan sepenuhnya oleh sekitar 3,000 penduduk di sini," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Barang-barang membina lif yang telah sampai namun dikatakan tiada sebarang operasi sejak bulan lepas.
Barang-barang membina lif yang telah sampai namun dikatakan tiada sebarang operasi sejak bulan lepas.

Dalam pada itu beliau menuntut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin turun padang bagi menyelesaikan perkara itu.

Difahamkan rumah pangsapuri kos sederhana dan rendah itu menerima peruntukan melalui Program Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia bernilai RM4.32 juta Julai 2017 dan projek dianugerahkan kepada kontraktor yang beralamat di Taman Anggerik, Johor Bahru.

Penduduk turut mendakwa kontraktor yang menjalankan tugas bukan kontraktor yang sama dan dipercayai projek tersebut telah diberikan kepada kontraktor lain susulan bukti surat menyurat yang digunakan.

Terpaksa turun naik tangga seminggu

Wakil penduduk, Suresh Sinnatamby berkata, apabila lif rosak, pihak pengurusan pangsapuri terpaksa menjalankan kerja baik pulih sedangkan kos itu sepatutnya ditanggung kontraktor.

"Projek bermula Februari tahun lepas tapi hanya dua lif siap iaitu di Blok C1 dan C2, itu pun tak sempurna. Sekarang setiap blok hanya satu lif yang berfungsi.

"Masalah utama kami apabila lif lama yang hanya ada satu di setiap bangunan ini rosak, kita ada 12 tingkat. Bayangkan kalau lif itu rosak seminggu, kita terpaksa turun naik tangga, itu belum warga emas yang sakit nak ke hospital, OKU yang berkerusi roda dan wanita sarat mengandung," katanya.

Hanya sebuah lif yang beroperasi di tujuh blok di pangsapuri ini.
Hanya sebuah lif yang beroperasi di tujuh blok di pangsapuri ini.

Katanya, mereka terpaksa bekerjasama mengangkat mana-mana warga emas atau OKU yang mahu turun dan naik terutama untuk ke hospital.

Katanya lagi, aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa termasuk Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) namun masih tiada kata putus sehingga hari ini.

Sehingga kini Sinar Harian masih menanti jawapan balas pihak MBJB berhubung isu ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!