Tubuh RCI demi keadilan Adib
IPOH - Jalinan Bersatu Sahabat Perak (Jabat) mengesyorkan agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dalam mengendalikan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Dalam satu sidang media khas, hari ini, Jabat yang dinaungi 63 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu seluruh Perak menganggap langkah itu perlu atas nama keadilan yang perlu dilaksanakan tanpa mengira siapa atau pangkat sekalipun.
Amir Ahmad Saib mewakili Majlis Ayahanda Perak berkata, sepertimana kes kematian melibatkan mendiang Teoh Beng Hock dan A Kugan, pengendalian sama juga harus dilakukan ke atas kematian Muhammad Adib.
"Kita tak mahu wujud double standard dalam siasatan ini, biar semuanya berjalan lancar, adil dan saksama.
"Ketika kejadian, Adib juga diperlakukan tanpa belas kasihan, jadi mereka yang membuat onar ini harus bertanggungjawab dan dibawa ke muka pengadilan," katanya.
Muhammad Iqbal Dinzly Mohamad saifuddin mewakili NGO Belia menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menghantar memorandum mendesak P Waytha Moorthy meletak jawatan.
Katanya, desakan itu adalah perlu memandangkan kegagalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengawal keharmonian kaum.
Katanya, meskipun rusuhan di kuil itu dikatakan bukan berpunca daripada pergaduhan antara kaum, namun ia kini telah menyemarakkan isu perkauman yang serius.
"Kita bersedih tetapi dalam masa yang sama marah, suasana negara yang aman telah membawa kepada satu kejadian malang berpunca daripada pihak-pihak tertentu yang gagal mengawal situasi tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Jabat, Amiruddin Mohd Daud berkata, mana-mana pemimpin kerajaan yang secara langsung atau tidak telah menimbulkan ketegangan kaum dalam isu ini juga perlu didakwa dibawah Akta Hasutan 1948.
Pihaknya akan memantau secara dekat perkembangan kes berkenaan dan sekiranya tiada apa-apa tindakan dalam tempoh terdekat ini, Jabat akan menemui menteri berkaitan untuk tindakan lanjut.
"Kita bukan mahu mengapi-apikan sentimen perkauman apatah lagi cuba menjadi pelampau agama, namun keadilan untuk Adib kini tanggungjawab semua pihak," katanya.
Dalam perkembangan sama, Amiruddin menafikan Jabat terlibat dalam penganjuran Himpunan #KeadilanBuatAdib yang dijadual berlangsung esok di Padang Ipoh.
Perhimpunan pada jam 2 petang itu dikatakan tetap diteruskan walaupun tidak mendapat kebenaran polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!