Megat Zaharuddin letak jawatan Pengerusi Felda
KUALA LUMPUR - Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), berkuat kuasa 30 Jun ini.
Felda dalam kenyataan hari ini, berkata Megat Zaharuddin memaklumkan hasratnya melepaskan jawatan itu semalam (24 Jun).
"Perjalanan hidup kita mengandungi 'perhentian’ dan ‘permulaan’. Saya memikir apakah lagi rancangan Allah pada diri saya,” kata Megat Zaharuddin dalam kenyataan itu.
Felda berkata Pengerusi baharu bakal diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kerana Felda adalah agensi yang bernaung di bawah kementerian berkenaan.
Megat Zaharuddin yang dilantik sebagai pengerusi agensi itu pada 26 Julai tahun lepas, telah berusaha keras memahami rapat isu-isu Felda, terutamanya berkaitan warga peneroka di sepanjang tempoh tersebut.
"Di bawah pentadbiran beliau, beberapa inisiatif pelan transformasi diperkenal dan diketengahkan untuk meneraju Felda semula ke tahap kelestarian dan kegemilangan.
"Beliau juga telah menyusun atur dan memperkenalkan misi, visi dan nilai teras baharu Felda, agar organisasi itu mampu menjadi pemacu pembangunan penempatan negara yang progresif,” menurut kenyataan itu. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!