Jual rumah tanpa ejen renyah tapi tidak sukar
Kepada pemilik yang memilih untuk menjual rumah secara sendiri tanpa bantuan ejen boleh dilaksanakan kerana ia memang dibenarkan dalam Akta 242 iaitu Akta Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah dan Pengurus Harta.
Menjual rumah sendiri amat sesuai bagi pemilik yang bijak membuat analisa pasaran, memahami proses jual beli, mempunyai kenalan seperti jurubank dan peguam hartanah.
Pemilik rumah tidak perlu melantik ejen hartanah sekiranya boleh menguruskan semua proses penjualan rumah daripada awal penjualan sehingga kunci diserahkan kepada pembeli dengan baik.
Namun perlu diingatkan jika tidak menggunakan khidmat ejen, itu bermakna pemilik berkenaan perlu menggunakan banyak masa kerana proses yang akan terlibat memerlukan masa yang panjang.
Bagaimanapun, menjual sendiri ada beberapa kelebihan antaranya pemilik dapat menjimatkan kos bayaran upah ejen hartanah yang biasanya berjumlah dua peratus hingga maksimum tiga peratus daripada harga jualan. Selain itu, pemilik dapat mengawal segala kos-kos lain yang berkaitan penjualan rumah terlibat.
Pemilik juga mempunyai privasi terhadap rumah dan boleh menerangkan kelebihan yang ada pada rumah berkenaan terus kepada prospek pembeli.
Apa perlu dilakukan
Memetik maklumat yang dikongsikan di www.kakiproperty.com menyatakan, jika mengambil keputusan menjual rumah secara sendiri tanpa menggunakan khidmat ejen hartanah, ada beberapa perkara yang pemilik beri perhatian dan perlu tahu lebih-lebih lagi jika penjualan rumah itu ialah pengalaman kali pertama pemilik. Apa yang perlu pemilik rumah dilakukan:
1. Persediaan
Sebelum mula menjual rumah, pastikan dahulu status rumah selalunya ada dinyatakan di dalam geran.Semak adakah rumah berkenaan masih master title atau pun sudah ada strata/ individual title, berapa keluasan tanah, luas rumah dan beberapa maklumat lain yang perlu dimasukkan dalam iklan. Semak juga dengan pejabat tanah dengan membuat carian kerana dikhuatiri ada kaveat iaitu sekatan atau halangan ke atas rumah yang mahu dijual.
2. Melantik peguam
Sebelum iklankan mengenai jualan rumah, pemilik perlu melantik peguam yang mahir. Peguam yang mahir amat penting supaya proses jualan rumah boleh dipercepatkan. Jika tidak, proses yang sepatutnya selesai dalam tempoh enam bulan akan jadi lebih setahun.
Sekiranya pemilik bukan daripada bidang hartanah, berkemungkinan pemilik tidak kenal dengan peguam yang mahir.
Justeru, perlu luangkan lebih masa untuk mencari peguam yang mahir dengan kawasan dan jenis pegangan rumah dimiliki.
Sebagai pengetahuan tambahan, setiap peguam hartanah ini selalunya ada bidang kepakaran masing-masing. Ada yang pakar dalam rumah kos rendah, ada yang pakar dalam rumah lelong dan banyak lagi. Kemahiran yang dimiliki oleh seseorang peguam itu akan cepatkan proses penjualan.
3. Iklan
Setelah segala dokumen rumah lengkap dan tiada sebarang masalah termasuk perkara berkaitan pemilihan peguam, barulah pemilik boleh memulakan iklan untuk menjual rumah tanpa menggunakan khidmat ejen.
Pemilik boleh mengiklankan di laman sesawang antaranya Propertyguru dan iProperty malah boleh juga sebarkan menerusi grup Facebook, WhatsApp atau platform media yang ada.
Pemilik juga boleh menggantungkan iklan kain rentang bagi menarik perhatian pembeli yang jenis lebih suka datang untuk melihat kawasan.
Setelah iklan dibuat, pasti akan ramai prospek pembeli yang menghubungi anda. Oleh itu pemilik perlu balas mesej atau menjawab panggilan bakal pembeli rumah dalam kadar segera. Jika lambat balas atau tidak sempat menjawab panggilan, ada kemungkinan pemilik akan terlepas pembeli.
Selain itu, pemilik juga perlu bersedia untuk menerima panggilan daripada pembeli yang bertanya tentang rumah pada bila-bila masa dan paling penting adalah pemasaran.
Pemilik perlu fikirkan cara bagaimana mahu mendapatkan pembeli supaya datang untuk melihat rumah yang akan dijual itu.
Oleh itu, pastikan gambar rumah kelihatan cantik dan kemas kerana pembeli akan mudah tertarik dengan gambar yang jelas dan kemas susunannya.
Pemasaran sebegini agak memerlukan wang dan lebih tenaga kerja. Malah, pemilik perlu meluangkan banyak masa untuk melakukan kajian terhadap keberkesanan iklan yang dilakukan dan ia sudah semestinya ada melibatkan wang.
4. Sesi melawat rumah
Apabila tiba masa untuk membawa pembeli berpotensi melihat rumah. Pemilik perlu bersedia meluangkan masa yang banyak kerana ia bergantung kepada masa pembeli untuk datang pada hari bekerja mahupun hujung minggu.
Kadangkala ada pembeli yang mahu datang selepas waktu bekerja, ada juga yang mahu datang melihat rumah pada waktu malam dan ada juga pembeli yang mahu datang melihat pada waktu pagi.
Sebaik ada pembeli yang berminat, pemilik perlu menetapkan waktu pula untuk membawa pembeli berkenaan melihat rumah terbabit atau dalam istilah lainnya melalukan sesi melawat ke seluruh ruang rumah sekali gus melakukan promosi rumah kepada pembeli.
Sekiranya rumah terbabit memang 'pisang goreng panas', akan ada ramai pembeli yang perlu pembeli bawa untuk sesi lawatan ke seluruh ruang rumah.
Inilah masanya untuk promosikan berkaitan kelebihan kawasan, kemudahan yang ada, suasana kejiranan dan lain-lain agar pembeli lebih tertarik untuk membeli.
5. Rundingan
Jika ada pembeli yang sangat berminat dengan rumah berkenaan, sudah pasti mereka akan berunding dengan pemilik untuk mendapatkan harga yang lebih rendah. Justeru, pemilik perlu tetapkan awal-awal berapa harga paling rendah yang boleh diberikan. Tetapi, semasa meletakkan iklan nyatakan harga jualan yang setara dengan pemilik rumah yang lain.
Pada ketika ini juga akan berlaku proses rundingan. Pembeli akan menawar harga serendah yang mungkin sementara pemilik pula mahukan harga setinggi yang mungkin.
Justeru, pemilik perlu tahu harga pasaran dan harga pesaing-pesaing yang lain. Pemilik perlu lakukan kajian terlebih dahulu supaya tidak terjual pada harga terlalu rendah.
6. Dokumentasi & Serah kunci
Jika pembeli sah mahu membeli rumah berkenaan, wang pendahuluan perlu diberikan kepada peguam sebagai pemegang amanah kerana adalah menjadi satu kesalahan sekiranya pemilik rumah menyimpan wang pendahuluan tersebut. Setelah wang pendahuluan diterima, pemilik perlu pastikan pembeli telah lulus permohonan pinjaman rumah untuk diserahkan kepada peguam.
Setelah proses itu selesai, peguam akan mula buat dokumen perjanjian jual beli (SPA).
Semasa menandatangani perjanjian SPA, pembeli akan membayar pula wang deposit sebanyak 10 peratus iaitu setelah tolak duit pendahuluan.
Pemilik akan menerima bayaran penuh daripada penjualan rumah setelah nama geran berjaya ditukarkan kepada nama pembeli.
Apabila pembeli setuju dan membayar wang pendahuluan kepada peguam, maka selesaikan tugas pemilik kerana proses seterusnya akan diuruskan oleh peguam sehingga pemilik menerima wang jualan rumah dan pembeli menerima serahan kunci.
Namun, walaupun pemilik menjual rumah tanpa menggunakan khidmat ejen, pemilik tetap tidak dapat mengelak daripada membayar kos-kos seperti carian tanah, kos guaman dan juga kos iklan. Oleh itu, pemilik rumah yang mahu menjual sendiri hartanah kediaman, siapkan diri dari segi masa, wang dan tenaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!