Malaysia Airlines akui pesawat hadapi masalah teknikal
SHAH ALAM - Masalah teknikal ke atas pesawat menjadi punca kelewatan penerbangan yang dinaiki Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ke London sehingga menyebabkannya terlepas temu janji dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Malaysia Airlines Bhd berkata, pihaknya amat menyesali kesulitan tersebut dan memohon maaf terhadap kejadian yang berlaku itu.
“Malaysia Airlines menyedari pertemuan Menteri (Mohamad Sabu) namun menjadi tanggungjawab pihaknya untuk memastikan pesawat selamat untuk terbang kerana keselamatan sangat penting pada setiap masa untuk syarikat penerbangan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 15 Jun lalu, Mohamad Sabu sepatutnya menaiki penerbangan MH002 dari Kuala Lumpur ke London yang dijadualkan tiba pada 5.55 pagi hari berikutnya.
Bagaimanapun, kelewatan tersebut menyebabkan penerbangan tiba pada jam 8.26 pagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Kelewatan pesawat MAS punca Mat Sabu gagal bertemu Tun M di London
Syarikat penerbangan tersebut juga menjelaskan bahawa, pihaknya telah mengatur perjalanan bagi pelepasan segera dan lancar apabila tiba di Lapangan Terbang Heathrow, London.
“Seterusnya mengatur penerbangan alternatif untuk rombongan Menteri ke Paris untuk lawatan kerja di sana,” katanya.
Semalam, Pejabat Menteri Pertahanan mengeluarkan kenyataan menyesali kejadian kelewatan itu.
“Kelewatan ini amat dikesali dan diharapkan pihak Malaysia Airlines tidak akan mengulanginya pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!