Pantauan, penguatkuasaan lemah punca pencemaran berulang
JOHOR BAHRU - Tragedi pencemaran udara yang kembali berulang di negeri ini tidak sepatutnya berlaku.
Timbalan Pesuruhjayanya, Dr Mohd Mazri Yahya berkata, lebih ketara apabila ia berlaku di lokasi yang sama dalam tempoh hanya tiga bulan.
"Apabila bencana seumpama ini berlaku, pastinya sedikit sebanyak mencalarkan imej dan mengundang persepsi negatif terhadap peranan badan-badan berkaitan pengurusan alam sekitar yang terlibat di negara ini.
"Apatah lagi bila ianya berlaku di tempat yang sama, di negeri yang sama dengan punca yang berbeza," katanya.
Beliau berkata, ia hanya menggambarkan kelemahan dari sudut penguatkuasaan dan pemantauan badan-badan alam sekitar terlibat sama ada oleh kerajaan negeri ataupun kerajaan Pusat.
"Justeru, tragedi ini bukanlah satu kebetulan tetapi ianya adalah satu kelemahan.
"Maka berapa banyak lagi tragedi Sungai Kim Kim akan berlaku selepas ini?," soalnya.
Mohd Mazri berkata, negeri itu juga sepatutnya bebas dari pencemaran udara memandangkan 20 Mac lalu kerajaan negeri dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) telah pun mengisytiharkan bahawa Sungai Kim Kim telah bebas daripada pencemaran sisa kimia.
"Kerajaan negeri Johor telah membelanjakan sebanyak RM 6.4 juta bagi melakukan kerja-kerja pembersihan sepanjang 1.5 Kilometer."Namun malangnya selang tiga bulan kemudian, negara sekali lagi dikejutkan dengan peristiwa yang hampir sama dengan tragedi Sungai Kim Kim itu.
"Sehingga kini, semua sekolah dan institusi pengajian di Pasir Gudang di arah tutup oleh Jabatan Pendidikan negeri," katanya.
Minggu lalu, berlaku lagi pencemaran udara di Pasir Gudang sehingga menyebabkan semua institusi pendidikan di kawasan berkenaan ditutup sehingga Khamis ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Sebanyak 111 sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan, tiga institusi pendidikan tinggi dan 14 sekolah swasta serta antarabangsa, selain 347 tadika swasta yang berdaftar dengan JPN ditutup.
ARTIKEL BERKAITAN Pencemaran udara: Johor patut belajar kejadian Sungai Kim Kim
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!