Seorang inspektor polis, 4 anak buah ditahan SPRM

Kelima anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes menerima wang suapan berjumlah kira-kira RM6,000 pada Mac lalu.
Kelima anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes menerima wang suapan berjumlah kira-kira RM6,000 pada Mac lalu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang inspektor polis bersama empat lans koperal dan koperal direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima wang suapan kira-kira RM6,000 membabitkan kes memiliki air ketum.

Perintah tahanan reman terhadap kelima-lima suspek bermula hari ini sehingga 29 Jun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Melaka, Muhammad Nazrin Ali Rahim selepas dimohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)..

Kesemua pegawai dan anggota polis terbabit berusia antara 25 hingga 50 tahun ditahan dari jam 5 petang hingga 11.15 malam semalam ketika dipanggil memberi keterangan di Pejabat SPRM negeri di sini.

Mereka tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 11.15 pagi dengan masing-masing memakai baju T dan seluar jean.

Difahamkan, kelima-lima suspek didapati menerima wang suapan sebanyak kira-kira RM6,000 daripada seorang lelaki berusia 30-an sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan memiliki air ketum.

Kesemua mereka yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dipercayai melakukan kesalahan itu di sekitar Tehel pada Mac lalu.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman terhadap kesemua suspek tersebut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!