Laporan kajian ambil alih lebuh raya diserah ke Kabinet
PUTRAJAYA - Laporan kajian cadangan pengambilalihan mana-mana lebuh raya telah diserahkan kepada Kabinet untuk tindakan lanjut, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.
Baru berkata, keputusan kajian yang dijalankan oleh perunding bebas bertauliah itu akan diumumkan dalam masa beberapa minggu lagi.
"Detail kajian itu kita biar dikeluarkan Kabinet," katanya kepada pemberita selepas menjayakan operasi penguatkuasaan bersepadu bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di sebuah tapak pembinaan di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Ambil alih lebuh raya lain jika projek perintis berjaya
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan pada Sabtu lepas mengumumkan telah memberi surat tawaran rasmi kepada empat syarikat konsesi lebuh raya dengan harga '’enterprise value'’ atau nilai wajar perusahaan berjumlah RM6.2 bilion.
Empat lebuh raya bertol terlibat itu adalah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART (SMART).
Sementara itu, Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, 1,347 pemeriksaan di tapak pembinaan telah dibuat di seluruh negara dalam masa lima bulan pertama tahun ini. Daripada jumlah itu, 2,611 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan dan 629 kertas siasatan dibuka.
"Operasi ini dijalankan bertujuan membuat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap Akta dan Peraturan yang berkaitan dalam industri pembinaan negara di tapak bina terutamanya Akta 520 CIDB," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!