3,883 kes penipuan pakej umrah libat kerugian RM13.8 juta

Gambar hiasan. - Foto sumber internet
Gambar hiasan. - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 3,883 kes penipuan pakej umrah direkodkan sejak 2012 hingga kini melibatkan kerugian berjumlah RM13.8 juta

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, kebanyakan mangsa kes penipuan itu terdiri daripada penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar.

Katanya, antara faktor masyarakat mudah tertipu adalah tawaran harga murah yang tidak masuk akal.

"Masyarakat diingatkan untuk membuat semakan dengan kementerian (pelancongan, seni dan budaya) untuk menyemak status atau lesen syarikat yang kendalikan pakej umrah itu.

"Selain itu, pegawai penguat kuasa juga sentiasa membuat pemantauan iklan di dalam surat khabar yang tawarkan pakej yang terlalu murah untuk melihat jika wujud unsur penipuan.

"Selain itu, kita juga turut menempatkan pegawai-pegawai kita untuk ikuti program atau aktiviti yang dijalankan pengendali syarikat umrah untuk memberi penerangan yang lebih jelas kepada orang ramai," katanya pada sidang media sebaik selesai Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Andalusia Travel dan Kumpulan Geng Masjid (KGM) Event di Hotel De Palma Ampang di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel, Datuk Daud Che Ngah, Pengarah Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ida Riswana Idris dan Pengarah Eksekutif KGM Event, Ashraf Alam.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Bakhtiar turut menjelaskan kerajaan melalui kementeriannya memandang serius kes penipuan pakej umrah yang masih kerap berlaku meskipun pelbagai usaha telah diambil.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, bagi menangani kes itu juga, kerajaan turut menetapkan polisi yang mewajibkan pegawai pemasaran separuh masa perlu berdaftar dengan syarikat untuk mengelak penipuan.

"Langkah ini juga merupakan salah satu pendekatan kerajaan untuk elak ejen syarikat pengendali pakej umrah yang palsu dan berniat untuk menipu orang ramai,"katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!