Lapan ditahan terlibat kegiatan proses arak tiruan
GEORGETOWN - Tujuh lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan antara yang ditahan polis kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan memproses arak tiruan di negeri ini, petang semalam.
Kegiatan mereka terbongkar apabila polis menyerbu sebuah rumah dua tingkat di Jalan Kajang di sini yang dijadikan tempat untuk memproses arak palsu sebelum diedarkan di pasaran sekitar negeri ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, dalam serbuan yang dilakukan jam 4 petang itu, pihaknya menemui ratusan bungkusan plastik hitam yang mengandungi botol arak pelbagai jenama dipercayai untuk diedarkan.
Menurutnya pemeriksaan yang dilakukan turut menemui bahan kimia dan pelbagai ramuan yang diisi dalam tong plastik dan disusun di dapur dipercayai untuk diproses menjadi arak tiruan.
Selain itu, katanya, terdapat juga botol minuman keras lama untuk dikitar semula, pelekat label dan juga mesin penutup botol arak dalam premis terbabit.
"Kesemuanya yang ditahan berusia 20 hingga 40-an dan kita percaya mereka telah melakukan aktiviti memperoses arak tiruan sejak empat tahun lalu.
"Sindiket arak tiruan dan palsu ini dipercayai menjadi punca kepada beberapa kes kematian akibat keracunan metanol di negeri ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, Che Zaimani berkata, pihaknya kini masih memburu seorang lelaki tempatan yang dipercayai dalang utama sindiket terbabit.
"Setakat ini, nilai rampasan dan juga waktu operasi semua pekerja terbabit memproses arak haram berkenaan masih dalam siasatan," katanya.
Sebelum ini, enam lelaki maut akibat keracunan metanol di Pulau Pinang selepas meminum arak buatan sendiri.
Mangsa yang maut berusia 40-an terdiri daripada dua warga tempatan, tiga Myanmar dan seorang warga India.
ARTIKEL BERKAITAN: Enam maut sejak dua bulan lalu minum arak tiruan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!