Amal Malaysia Airlines bawa 20,000 jemaah ke Tanah Suci

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMAL, cabang penerbangan Haji dan Umrah Malaysia Airlines Bhd (MAB) sudah bersedia mengendalikan sehingga 20,000 jemaah bagi musim haji tahun ini dengan penerbangan pertama dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah dan Madinah, Arab Saudi pada 4 Julai depan.

MAB dalam satu kenyataan hari ini berkata Amal akan menambah sehingga 40 penerbangan diantara Kuala Lumpur dan Jeddah serta Madinah menggunakan pesawat A380-800 bagi fasa haji pertama dari 4 Julai hingga 5 Ogos.

Syarikat penerbangan itu juga akan mengendalikan sehingga 70 penerbangan pengantara menggunakan pesawat B737-800 untuk membawa jemaah haji dari Alor Setar, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Bharu, Kota Kinabalu, Kuching, Kuala Terengganu ke KLIA.

“Amal akan menggunakan pesawat A380-800 yang luas, dikonfigurasikan dengan ciri-ciri unik dalam pesawat yang disediakan untuk jemaah seperti talbiyah, doa musaffir, azan dan tazkirah, serta pengumuman miqat untuk memastikan pengalaman haji bermula pada saat mereka masuk ke dalam pesawat," kata Ketua Pegawai Eksekutif Amal, Hazman Hilmi.

Oleh kerana jemaah haji biasanya golongan yang telah berusia dan 70 peratus daripada mereka kali pertama menaiki pesawat, syarikat penerbangan itu yakin kru pesawat dan kakitangan darat yang terlatih dapat berkhidmat kepada jemaah haji dengan perkhidmatan tahap tertinggi, katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!