Sajat lapor KPDNHEP, dakwa produk bengkung diciplak
KUALA LUMPUR - Usahawan kosmetik Nur Sajat atau Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 34, mendakwa kerugian ratusan ribu ringgit selepas produk bengkungnya diciplak oleh individu tidak bertanggungjawab.
Menurut Sajat, beliau mengesan perkara ini sejak tahun lalu apabila produk bengkungnya itu dijual dengan harga jauh lebih murah berbanding harga original.
"Tentang barangan kita iaitu bengkung, ada dikesan dijual di beberapa web e-dagang serta pusat pemborong. Saya sangat tidak berpuas hati kerana ia beri impak besar terutama kepada pengguna serta pihak stokis.
"Kami dapat aduan ada pengguna cedera apabila guna produk bengkung tiruan ini. Ia adalah sangat berbeza dengan produk original kerana ia lebih berkualiti," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Terdahulu, usahawan itu hadir kira-kira jam 2.30 petang bagi membuat aduan kepada pihak KPDNHEP Kuala Lumpur berhubung kes barangan tiruan membabitkan produknya.
Tambah Sajat, perbezaan ketara pada produk original iaitu dari segi jahitan, tagging serta logo.
"Apabila barang tiruan ini dijual, ia seolah ambil untung atas angin kerana menggunakan nama dan wajah saya. Apa yang saya dapat tahu, produk ini ada yang dijual dengan harga RM39 biar pun harga sebenarnya adalah RM139," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga telah mengambil tindakan pada 2 Mei lalu di dua buah premis di Sungai Udang, Klang dan Chow Kit, Kuala Lumpur kerana dipercayai menjual produk bengkung tiruan miliknya.
"Pengguna diminta untuk tidak terpedaya membeli barang yang murah, jika harga lebih murah, itu adalah tiruan, saya tak mahu ia beri kesan kepada pengguna," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Azeem Nazuri berkata, tindakan lanjut akan diambil termasuk meneliti dokumen berkaitan produk terbabit.
“Kes akan disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!