Mara tekankan pembangunan kompetensi warga pendidik

Rina - Foto BERNAMA
Rina - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperuntukkan RM56 juta tahun ini bagi tujuan latihan dan pembangunan kompetensi warga kerjanya termasuk pendidik, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

"Dengan peruntukan yang ditetapkan ini, saya mahu melihat usaha ini bukan sekadar mahu meningkatkan kemahiran dan profesionalisme semata-mata tetapi juga memberi fokus dalam membentuk sahsiah, keperibadian dan jiwa pendidik dalam kalangan warga pendidik Mara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan merasmikan sambutan Hari Pendidik Mara 2019 di sini hari ini.

Rina berkata, 51 peratus atau kira-kira 10,000 orang daripada jumlah keseluruhan warga kerja Mara yang berjumlah 19,706 adalah terdiri daripada pendidik.

Katanya, ketika ini lebih 400 warga pendidik Mara sedang mengikuti pengajian di peringkat PhD, sarjana, ijazah dan profesional serta kursus peningkatan kompetensi di dalam dan luar negara.

Rina seterusnya berkata, peningkatan kompetensi dalam kalangan pendidik Mara diharap dapat melahirkan anak-anak Mara yang mempunyai tahap pendidikan yang tinggi bukan sahaja dari segi pelajaran tetapi juga sahsiah diri yang murni.

Seramai 25 warga pendidik Mara menerima Anugerah Pendidik Mara 2019 pada majlis itu.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Mara yang pernah berkhidmat selama 36 tahun sebagai guru Mara, Datuk Azmi Mohamad menerima Anugerah Tokoh Pendidikan Mara 2019. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!