Dua sekawan 'kantoi' berjudi
KUALA LUMPUR - Keasyikan dua sekawan leka bermain judi online dikejutkan dengan kehadiran pihak berkuasa.
Aktiviti dua wanita berusia lingkungan 50-an itu mengundang padah apabila kedua-dua mereka ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, dalam serbuan, di sebuah kondominium di Taman Sri Rampai, Wangsa Maju, di sini, awal pagi semalam.
Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Rohazah Alwi berkata, Ops Dadu kira-kira jam 1.30 pagi menahan empat individu merupakan dua penjaga premis serta dua pemain.
"Semakan mendapati penjaga tersebut adalah warga Indonesia yang diupah bayaran RM1,300 sebulan.
"Pelbagai barang telah dirampas seperti komputer riba, tablet, telefon bimbit, modem serta wang tunai," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Rohazah berkata, bagi menyukarkan kegiatan judi itu dikesan polis, penjaga premis akan turun ke bawah mengambil individu yang hendak bermain.
Katanya, siasatan mendapati kegiatan ini beroperasi di tingkat 23 kondominium terbabit sejak seminggu lalu.
"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a)Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!