Cadangan pindah Kem Lok Kawi ke pantai timur Sabah diteliti
KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan akan meneliti cadangan pemindahan kekuatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Tentera Lok Kawi, Kota Kinabalu ke kawasan pantai timur Sabah.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, perkara itu masih dibincangkan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Saya ucapkan terima kasih atas pandangan berkenaan dan cadangan itu telah diambil perhatian serta akan dibincangkan lagi pada sesi mesyuarat seterusnya termasuk keadaan keselamatan Sabah dan perairannya," katanya kepada pemberita pada sambutan Aidilfitri kementerian itu di sini, hari ini.
Minggu lepas, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilapor mengusulkan cadangan untuk memindahkan kekuatan tentera Kem Lok Kawi ke pantai timur Sabah susulan ancaman keselamatan termasuk serangan lanun.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!