Bas baharu perlu ada Sijil PPP bermula 1 Julai
KLANG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mewajibkan setiap bas baharu perlu mempunyai Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (PPP), bermula 1 Julai ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, sijil perakuan tersebut perlu dikemukakan semasa pemeriksaan awalan Puspakom, 1 Januari tahun depan.
Menurutnya, penguatkuasaan itu tertakluk di bawah peruntukan Seksyen 66(1)(a),66(1)(d), 66(1)(pp),66(1)(00) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah 9,9A,137 Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Pelaksanaan) 1959.
"Sijil perakuan ini menekankan dua aspek utama yang perlu dipatuhi industri pengeluar bas iaitu pembinaan struktur utama badan bas dan pemasangan tempat duduk penumpang," katanya pada sesi taklimat PPP di kilang pemasangan bas Pioneer Coachbuilders Sdn Bhd di Pelabuhan Klang di sini hari ini.
Beliau berkata, ciri keselamatan itu digunakan selepas mengambil kira insiden kemalangan melibatkan bas termasuk kejadian di Genting Highlands pada 2013 yang meragut 37 nyawa.
"Kerajaan telah menubuhkan satu panel khas sejak insiden itu untuk mengenal pasti punca kejadian dan hasil siasatan itu kita tambah baik dengan prosedur pembinaan bas tempatan.
"Sebanyak 66,228 pemasangan bas didaftarkan. Daripada jumlah itu sebanyak 61,734 adalah dibina dalam negara dan 4,494 diimport.
"Statistik menunjukkan sebanyak 384 insiden kemalangan bas berlaku dalam tempoh 10 tahun," katanya.
Jelasnya, JPJ tidak bercadang menguatkuasakan pengeluaran sijil PPP tersebut kepada bas sedia ada.
“Bas lama tertakluk kepada peraturan lama. Namun, JPJ memastikan pemantauan kepada semua bas sedia ada dilakukan demi keselamatan pengguna.
“Pelaksanaan pengeluaran sijil PPP ini tidak melibatkan kos tambahan. Kegagalan syarikat pembina bas mematuhi peraturan boleh menyebabkan pendaftaran syarikatnya dibatalkan dan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!