Peluang ASEAN samar jika China dipilih tuan rumah Piala Dunia 2030
PELUANG negara ASEAN menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2034 dilihat samar seandainya hak penganjuran kejohanan bola sepak berprestij itu pada 2030 menjadi milik China.
Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berkata mengikut peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), badan induk itu tidak akan membenarkan benua yang sama menganjurkan Piala Dunia untuk tempoh dua edisi berturut-turut.
"Jika China bida dan dapat hak penganjuran pada 2030, memang tidak boleh untuk ASEAN anjurkan selepas itu. Kena tunggu 2038 baru boleh, ia sudah ada dalam peraturan FIFA untuk menggilirkan hak penganjuran antara benua," katanya selepas sidang media Konvensyen Kejurulatihan FAM-AFC, di sini, hari ini.
Ahad lepas, Pengerusi ASEAN, Jen Prayuth Chan o-cha berkata kesemua 10 negara anggota ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok, bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.
Untuk rekod, Qatar akan menjadi tuan rumah edisi ke-22 pada 2022 manakala Piala Dunia 2026 dihoskan bersama oleh Kanada, Amerika Syarikat dan Mexico yang buat pertama kali akan menyaksikan penampilan 48 pasukan. China pula dikatakan berminat menjadi tuan rumah kejohanan itu pada 2030.
Benua Asia pertama kali menjadi tuan rumah Piala Dunia apabila Jepun dan Korea Selatan secara bersama menjadi hos pada 2002.
Mengulas lanjut, Windsor berkata hasrat menganjurkan kejohanan paling berprestij dunia itu adalah suatu usaha terpuji dan tidak mustahil untuk ASEAN membuat satu bidaan yang baik.
Namun, beliau berkata terdapat beberapa mekanisme yang digunakan FIFA untuk proses pemilihan menjadi tuan rumah kejohanan itu yang harus difahami dengan tepat.
Beliau menegaskan perkara lain yang perlu diambil perhatian adalah bagaimana pembahagian slot pasukan bertanding pada Piala Dunia bagi negara Asia akan diagihkan jika ASEAN bersepakat membida Piala Dunia 2034.
"Antara lain, adakah ada negara Asia lain lebih kuat daripada ASEAN seperti China akan membida kejohanan itu. Jadi kita kena faham konteks bagaimana FIFA akan membuat keputusan kerana Piala Dunia merupakan pendapatan utama bagi projek pembangunan bola sepak FIFA untuk diagihkan kepada 211 negara," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata kenyataan dikeluarkan AFC itu bukan sesuatu yang akan mengecewakan peminat bola sepak tanah air kerana ia adalah fakta yang diketahui ramai.
"Kenyataan Windsor bukannya untuk mengecewakan sesiapa, itu maklumat yang kami sudah tahu. Peluang untuk ASEAN memang ada, mungkin kita kena tengok dan tunggu masa sesuai. Kalau bukan tahun 2034, mungkin 2038 atau 2042.
"Kita jangan harap untuk bida satu Piala Dunia sahaja, ambil peluang lain namun kita kena buat kajian kerana mungkin pada pada masa itu (2038 atau 2042) industri bola sepak ASEAN sudah berubah lebih baik. Apa yang penting Asia kena sokong ASEAN," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!