Bayi maut ketika tidur meniarap
JOHOR BAHRU - Seorang bayi berusia lebih sebulan maut dipercayai lemas ketika tidur meniarap di kediamannya di Taman Nusa Bayu, Gelang Patah, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, perkara itu disedari oleh ibu mangsa, 33 tahun, yang merupakan seorang pemandu pelancong setelah pulang ke rumah sekitar jam 5.30 pagi.
Menurutnya, wanita itu mendapati anaknya tidak sedarkan diri dalam keadaan meniarap atas toto dengan bibir kebiruan.
"Ketika kejadian, bapa mangsa, 25 tahun yang merupakan pemandu van sekolah sedang tidur di ruang tamu. Dia dikejutkan oleh isterinya yang memaklumkan anak lelaki mereka yang tidur di bilik seorang diri itu tidak sedarkan diri.
"Melihat keadaan tersebut, mereka telah membawa bayinya ke Klinik Kesihatan Gelang Patah untuk pemeriksaan," katanya di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata, pihak pegawai perubatan bertugas telah membuat pemeriksaan dan mendapati bayi tersebut telah meninggal dunia, namun tiada sebarang unsur jenayah atau khianat.
Katanya, siasatan awal mendapati bayi terbabit tiada sebarang penyakit dan tidak mempunyai apa-apa rawatan sebelum ini, serta dalam keadaan sihat.
"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!