Usul turunkan had umur mengundi dibawa ke Parlimen
KUCHING - Usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Julai ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun.
Beliau berkata pembentangan usul itu yang dijadualkan pada 4 Julai bertujuan membolehkan mereka yang berumur 18 tahun menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Sekiranya diluluskan, lebih ramai golongan belia dan pelajar institusi pendidikan tinggi, termasuk di politeknik kerajaan layak mengundi pada pilihan raya yang datang,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Program Pendidikan Pengundi bersama Politeknik Kuching di sini hari ini.
Beliau berkata sehingga suku pertama tahun ini, seramai 3.8 juta belia yang layak mengundi tetapi masih belum mendaftar sebagai pengundi di seluruh negara.
Mengenai Program Pendidikan Pengundi SPR, beliau berkata seramai 31,355 pelajar berumur 18 hingga 26 tahun telah menyertai program yang diadakan melalui Akademi Pilihan Raya (APR) yang antara lain bertujuan menjawab pelbagai isu berkaitan pilihan raya.
Mengenai pilihan raya negeri Sarawak yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2021, beliau berkata SPR sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya itu.
Azhar turut menafikan dakwaan yang diviralkan di media sosial bahawa rakyat Sarawak diminta untuk mendaftar sebagai pengundi di pejabat SPR atau pejabat pos dengan segera dan tarikh tutup pendaftaran itu adalah 30 Jun 2019.
Beliau berkata tarikh akhir untuk mendaftar sebagai pengundi akan hanya diketahui selepas tarikh pilihan raya itu diumumkan.
“Saya menasihati mereka yang belum menjadi pengundi untuk mendaftar secepat mungkin agar kesulitan dan kecewaan tidak timbul,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!