Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 berakhir nada positif

Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 - Foto BERNAMA
Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 - Foto BERNAMA
A
A
A

BANGKOK - Mesyuarat yang diibaratkan seperti ‘marathon’, dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, negarawan tertua di ASEAN dan di dunia, semasa lawatan kerja beliau ke Bangkok, Thailand bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 pada hujung minggu lepas, yang berakhir dengan nada positif.

Mengetuai delegasi Malaysia, Dr Mahathir, yang akan genap usia 94 tahun pada Julai ini dan merupakan seorang daripada pemimpin ASEAN terawal tiba di Bangkok pada Khamis lepas untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 dan Mesyuarat Berkaitan, berkata beliau menghadiri mesyuarat yang sangat berhasil dalam lawatan kerja empat harinya ke negara ini.

Sungguhpun terpaksa menghadiri dialog dan mesyuarat yang disusun padat semasa lawatan kerja itu, Dr Mahathir berkata gembira kerana ‘agak banyak perkara’ dicapai pada edisi Sidang Kemuncak ASEAN kali ini.

Sidang kemuncak pada Ahad itu dimulakan dengan upacara perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 dan pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN, disusuli dengan mesyuarat ke-13 Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan mesyuarat ke-12 Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Pada hari sama, Dr Mahathir mengadakan mesyuarat perdagangan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Jeneral Prayuth Chan o-cha untuk terus memperkukuhkan hubungan dua hala antara negara berjiran itu selain mempermudahkan proses damai di selatan Thailand.

Dr Mahathir dan sembilan lagi ketua kerajaan serta ketua negara menghadiri sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN selain pertemuan bersemuka dengan wakil daripada Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) serta mesyuarat meja bulat bersama peneraju industri Thailand pada Sabtu.

Perdagangan dan ekonomi yang semakin berkembang di samping kerjasama yang lebih kukuh dalam kalangan negara anggota menjadi antara agenda utama sidang kemuncak berkenaan yang berlangsung di tengah-tengah perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia – China dan Amerika Syarikat.

Ahli politik yang tegas itu membangkitkan beberapa isu semasa sidang kemuncak berkenaan, termasuk usaha melonjakkan jumlah perdagangan intra ASEAN yang pada masa ini agak rendah.

Artikel Berkaitan:

Perkumpulan 10 negara serantau itu kini mempunyai penduduk berjumlah kira-kira 650 juta, dan pasaran adalah besar manakala potensinya pula sangat banyak, katanya.

Beliau berkata pasaran ASEAN yang membentuk kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan dagangan adalah setanding dengan perkumpulan lain seperti Kesatuan Eropah dan Kesatuan Amerika Utara di mana dagangan berjumlah antara 45 dan 50 peratus.

Dr Mahathir berkata masanya sudah tiba bagi anggota ASEAN mengambil langkah khusus, termasuk memperkemas prosedur, proses dan undang-undang untuk melonjakkan dagangan intra ASEAN dan mengenal pasti barangan serta produk yang boleh dihasilkan dalam lingkungan rantau itu bagi mengeluarkan produk keluaran ASEAN untuk mengurangkan import dari luar wilayah ini.

Pemimpin berwawasan itu mencadangkan supaya diperkenalkan cukai e-perdagangan dalam ASEAN kerana perniagaan dalam talian telah ‘diserap’ oleh perniagaan konvensional dan mengurangkan hasil cukai di negara anggota.

Semasa sidang kemuncak itu, Malaysia dan negara anggota ASEAN yang lain turut mengulangi komitmen padu mereka untuk memuktamadkan rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) tahun ini bertujuan mencergaskan semula dagangan antarabangsa dan mengekalkan kredibiliti ASEAN.

Kenyataan Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 itu menggesa rakan ASEAN yang berkaitan supaya memberi keutamaan kepada rundingan RCEP dan bekerjasama dengan ASEAN untuk memuktamadkan rundingan RCEP dalam tahun ini.

Dr Mahathir berkata beliau berkeyakinan bahawa RCEP akan dimuktamadkan dan Malaysia sedia untuk memuktamadkan RCEP tanpa India “buat masa ini”.

RCEP adalah cadangan perjanjian perdagangan bebas antara 10 negara anggota ASEAN dan enam negara Asia Pasifik, iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand. Blok ini telah beberapa kali gagal menepati sasaran untuk memeterai RCEP, bagaimanapun, Sidang Kemuncak ASEAN yang baru berakhir menyaksikan semua negara anggota memberi komitmen untuk memuktamadkannya menjelang akhir tahun ini.

Krisis Rohingya adalah satu daripada isu yang dibangkitkan oleh semasa sidang kemuncak itu. Malaysia dan Indonesia adalah antara beberapa negara anggota ASEAN yang bersuara bagi pihak kaum minoriti berkenaan.

Kehadiran Dr Mahathir dalam Sidang Kemuncak ASEAN turut menarik perhatian media tempatan dan asing terutamanya apabila beliau terpaksa berdiri di sebelah pemimpin Myanmar, Aung San Syu Kyi semasa para pemimpin berjabat salam, mengikut tradisi ASEAN, berikutan mereka tidak sependapat dalam krisis Rohingya.

Ketika ditanya sama ada beliau membangkitkan perkara itu kepada Suu Kyi, Dr Mahathir tidak mengulas sama ada beliau ada berbual secara peribadi dengan pemimpin itu. Secara berseloroh, beliau menjawab: “Dia duduk di sebelah saya, mengikut turutan abjad. Dia juga duduk di sebelah saya di meja makan.”

Pada sidang kemuncak itu, Dr Mahathir turut membangkitkan kebimbangan tentang keselamatan pelarian untuk kembali ke Myanmar kerana sebahagian besar daripada mereka bimbang akan disiksa dan dipenjarakan. Beliau menggesa badan pemantau antarabangsa supaya memastikan keselamatan pelarian Rohingya.

Sementara itu, Kenyataan Pengerusi ASEAN menyebut semua pemimpin menyuarakan sokongan berterusan kepada komitmen Myanmar untuk memastikan keselamatan dan jaminan bagi semua komuniti di Negeri Rakhine dan mempermudahkan kepulangan secara sukarela orang pelarian.

Para pemimpin menanti-nantikan pelaksanaan penuh memorandum persefahaman (MoU) antara Myanmar, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan dialog yang berkesan antara Myanmar dan Bangladesh untuk mempermudahkan proses penghantaran balik orang pelarian dari Negeri Rakhine.

“Kami menegaskan kepentingan untuk mencari penyelesaian yang komprehensif dan kukuh bagi menangani punca konflik dan mewujudkan persekitaran kondusif supaya komuniti yang terjejas boleh membina semula hidup mereka,” menurut kenyataan itu.

Bertemakan ‘Memajukan Perkongsian bagi Kelestarian’, sidang kemuncak itu membincangkan pelbagai inisiatif untuk merealisasikan impian yang ditetapkan bagi manfaat penduduk ASEAN.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 berakhir dengan impian Piala Dunia apabila Prayuth berkata ASEAN akan melancarkan usaha bersama untuk menganjurkan acara sukan terbesar di dunia itu -- Piala Dunia FIFA pada 2034 -- yang pertama bagi rantau ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!