Empat mayat warga Myanmar berjaya ditemukan

Lokasi kejadian runtuhan yang berlaku di sebuah pusat peranginan, Lost Paradise Resort di Tanjung Bungah di sini malam tadi.
Lokasi kejadian runtuhan yang berlaku di sebuah pusat peranginan, Lost Paradise Resort di Tanjung Bungah di sini malam tadi.
A
A
A

BATU FERRINGHI - [DIKEMASKINI] Mayat empat pekerja warga Myanmar yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah pusat peranginan, Lost Paradise Resort di Tanjung Bungah di sini ditemui.

Dalam kejadian yang berlaku jam 9.45 malam tadi, kesemua pekerja itu dikatakan sedang melakukan kerja-kerja membaiki tembok penahan tanah di pusat peranginan terbabit sebelum berlaku kejadian malang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, selepas hampir enam jam melakukan operasi mencari dan menyelamat akhirnya kesemua mayat pekerja yang tertimbus berjaya ditemui.

Menurutnya, tiga mayat mangsa ditemukan dalam keadaan berdiri dan masih memegang besi cerucuk manakala seorang lagi ditemui dalam keadaan terbaring.

"Kesemua mereka ditemui tidak jauh antara satu sama lain dan mengalami kecederaan akibat tertusuk besi cerucuk yang sedang dipasang untuk membaiki tembok penahan tanah.

ARTIKEL BERKAITAN: Bangunan runtuh: Mayat warga Myanmar ditemui

"Setakat ini kita tidak dapat mengesan identiti kesemua mangsa yang terlibat berikutan mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, bagaimanapun kita akan merujuk kepada pejabat kedutaan bagi mendapatkan butiran lanjut mereka melalui cap jari," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Che Zamaini berkata, mayat pertama ditemui kira-kira jam 11.20 malam, mayat kedua pula ditemui 40 minit kemudian.

Artikel Berkaitan:

Mayat ketiga pula ditemukan kira-kira jam 12.17 tengah malam dan yang terakhir pada jam 3.35 pagi.

Beliau berkata, proses pencarian mengalami kesukaran berikutan terdapat banyak besi cerucuk berada di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Che Zaimani berkata, kejadian tanah runtuh itu disedari berlaku oleh seorang tukang kebun resort berkenaan yang mendengar bunyi runtuhan tanah di lokasi pembinaan tebing berkenaan.

Katanya, ketika kejadian tukang kebun berusia 61 tahun itu sedang menjirus bunga berhampiran lokasi kejadian dan bergegas lari memaklumkan kejadian itu kepada pemilik resort berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!