Mohon bantuan dana surau RM750,000
PUNCAK ALAM - Jawatankuasa Surau Al Ikhlas Alam Suria memohon keprihatinan orang ramai untuk menyumbang dana bagi projek bangunan baharu surau itu.
Imam 1 Surau Al Ikhlas, Zamri Marthan berkata, kos pembinaan bangunan surau baharu seluas 705 meter persegi itu dianggarkan sebanyak RM750,000.
Menurutnya, projek kutipan derma dapat dimulakan sejak Ramadan lalu selepas menerima surat kebenaran daripada agensi kerajaan.
"Setakat ini, dana terkumpul sebanyak RM40,000 dan kami masih meneruskan kempen kutipan derma termasuk tawaran infak dan wakaf.
"Kalau boleh, kami mahu capai Sekurang-kurangnya 50 peratus dari jumlah keseluruhan supaya gerak kerja yang lain dapat dilaksanakan," katanya.
Orang ramai boleh menyumbang terus ke akaun Bank Islam 12168010005599 atas nama Jawatankuasa Pembinaan Surau Al Ikhlas.
Maklumat lanjut boleh menghubungi Zamri di talian 0126675324 atau Setiausaha Surau Al Ikhlas, Zulhelmi Majid di talian 0143621272.
Sementara itu, Zulhelmi menjelaskan, projek itu dirancang sejak dua tahun lalu selepas kemudahan surau sementara serba kekurangan.
"Tapak surau sementara ini sebenarnya tak sempurna dari segi kemudahan parkir, tandas, tempat wuduk dan sistem longkang.
"Jadi, kami merancang untuk bangunkan surau baharu dengan kemudahan lebih lengkap dan mesra pengguna.
"Tapak tanah surau ini sudah digazetkan pemaju dan kami mahu memanfaatkannya sebaik mungkin untuk kemudahan lebih 700 kariah setempat," katanya.
Katanya lagi, bangunan surau baharu dengan konsep moden akan dilengkapi dewan solat lengkap dengan bilik imam, tetamu dan mesyuarat.
"Tempat wuduk lelaki dan perempuan pun kami nak buat laluan berasingan untuk keselesaan penduduk selain bilik permainan untuk kanak-kanak.
"Kami juga merancang nak buat ruang legar terbuka untuk aktiviti komuniti memandangkan surau rajin buat program melibatkan jawatankuasa penduduk," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!