MTAJ dinobat Madrasah Tahfiz Cemerlang Peringkat Negeri Johor 2019
KOTA TINGGI - Meskipun pernah dilanda kontroversi satu ketika dahulu ia bukan alasan untuk jatuh, sebaliknya Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ) terus bangkit dalam pendidikan tahfiz apabila dinobat Madrasah Tahfiz Cemerlang Peringkat Negeri Johor 2019.
Pengetuanya, Mohammad Afdhaluddin Ismail berkata, pengiktirafan itu diberikan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melalui Bahagian Pendidikan Islam.
Menurutnya, MTAJ yang mewakili Daerah Kota Tinggi ke peringkat negeri telah membuktikan bahawa usaha memartabatkan pendidikan tahfiz bukan suatu yang mustahil.
"Anugerah ini telah dinilai dari pelbagai sudut, antaranya kemudahan dan fasiliti, sistem pengurusan dan pentadbiran yang teratur, tadbir urus dan tatakelola yang betul, kebersihan, disiplin, rekod dan sebagainya.
"Bermula dengan pelajar perintis seramai tujuh orang, MTAJ kini berkembang dan mempunyai pelajar 140 orang dalam tempoh 8 tahun penubuhan.
"MTAJ lengkap degan pelbagai fasiliti ini turut menawarkan kelas persediaan SPM bagi pelajar yang telah menamatkan pengajian tahfiz," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Tambahnya, pengiktirafan oleh JAINJ diharap menjadi pemangkin bagi seluruh warga MTAJ untuk terus konsisten bekerja dan membawa MTAJ ke arah yang lebih cemerlang di masa hadapan.
Jelasnya, kejayaan itu juga tidak dapat dicapai tanpa sokongan yang tidak berbelah bahagi oleh semua ibu bapa penjaga, para dermawan, Muslimin dan Muslimat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!