Pernah rugi hampir RM100,000!

Faizal (kanan) bersama bapanya Jamaludin di hadapan nurseri di Kampung Parit Mesjid.
Faizal (kanan) bersama bapanya Jamaludin di hadapan nurseri di Kampung Parit Mesjid.
A
A
A

PONTIAN - Bergelar usahawan tani bukanlah mudah seperti disangka lebih-lebih lagi ketika usia masih muda.

Itulah yang dilalui Mohd Faizal Jamaludin, 35, yang memiliki kelulusan dalam bidang pendawaian elektrik namun memilih pertanian hanya kerana minat.

Menurutnya, dia pernah tersungkur sebelum mengusahakan nurseri di Kampung Parit Mesjid Pontian sejak sebulan lalu.

Faizal berkata, ladang tomato fertigasi seluas 1.2 hektar di Kampung Pak Kalib, Pekan Nanas yang diusahakan pada tahun 2005 berdepan masalah menyebabkan dia mengalami kerugian mencecah RM100,000.

Ladang tomato yang diusahakan bersama abangnya Mohd Firdaus, 37, hanya memberikan hasil pada tuaian pertama namun tidak berbuah pada tuaian kedua disebabkan faktor cuaca yang terlalu panas.

“Kerugian yang ditanggung memang besar. Lebih menyedihkan modal diperoleh dari ayah (Jamaludin Kasim, 61) yang mahu lihat saya jadi petani moden yang berjaya.

“Walaupun gagal, saya tak nak putus asa dan nekad capai impian bergelar usahawan tani,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, baru-baru ini.

Faizal memberitahu dia kemudiannya bekerja dalam bidang pendawaian elektrik bagi sektor cari gali minyak di Terengganu pada 2006.

Artikel Berkaitan:

“Selepas tamat belajar peringkat menengah, saya sambung pengajian di sebuah kolej kemahiran seterusnya memperoleh sijil pendawaian elektrik.

“Saya kerja sementara dulu menggunakan kelulusan tersebut selepas projek fertigasi tomato gagal.

“Pada tahun lepas, saya kembali ke Pontian untuk bantu ayah dan kembali mencapai impian bergelar usahawan tani, ” katanya.

Belajar daripada ayah

Tidak memiliki sebarang kelulusan dalam bidang pertanian, Faizal menjelaskan ayahnya banyak memberikan ilmu dan tunjuk ajar.

Faizal berkata, sejak dari kecil dia tertarik dengan hobi ayahnya yang suka mengumpul bonsai di rumah.

Katanya, bonsai dijaga ayahnya mencecah ratusan pokok.

“Ayah sangat minat bonsai. Memang rapi dan cantik bonsai yang ayah jaga.

“Dari situ timbul minat saya untuk tahu lebih lanjut tentang tanaman bonsai. Ayah mula ajar saya cara cantumkan pokok dan penjagaan pokok bonsai,” katanya.

Tambah Faizal, pekerjaan ayahnya sebagai anggota polis marin menyebabkan dia sekeluarga sering merantau termasuk ke luar negara antaranya ke Indonesia, Thailand dan Vietnam.

“Ayah dapat menambah pengetahuan tentang pokok dan cara tanaman ketika merantau,” katanya.

Tanah terbiar jadi nurseri

Kini Faizal mampu tersenyum melihat nurseri diusahakan di Kampung Parit Mesjid menjadi kenyataan.

Katanya, bukan mudah untuk membuka nurseri tersebut kerana kawasan berkenaan merupakan tanah terbiar yang dipenuhi dengan semak samun dan pokok-pokok terbiar.

“Selepas kawasan terbiar dibersihkan saya perlu cari pembekal bahan-bahan pertanian.

“Dengan bantuan dan tunjuk ajar dari ayah segalanya berjalan lancar. Impian kami hendak membuka nurseri tercapai pada bulan Ramadan lepas,” katanya.

Dalam pada itu, Faizal berkata, dia bercadang untuk membangunkan tapak nurseri berkenaan dengan sebuah bangunan pejabat dan cafe.

Memiliki lebih 50 jenis anak pokok, Faizal memberitahu anak pokok durian mendapat permintaan tinggi dari pelanggan.

“Kebanyakan yang datang mencari anak pokok durian kerana sukar mendapatkan anak pokok durian yang berkualiti.

“Di sini terdapat anak pokok durian seperti udang merah, musang king, asfa 50, telur buaya, IOI dan udang merah,” katanya.

Selain itu, terdapat pelbagai jenis anak pokok buah-buahan, bunga, tanaman herba di nurseri.

Jelasnya, percubaan demi percubaan dilakukan bagi mendapatkan teknik tanaman terbaik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!