Terperangkap dalam cita-cita
SEWAKTU di sekolah dahulu, cikgu pernah bertanya apakah cita-cita saya? Cikgu bertanya secara berdepan dan semua murid boleh mendengar soalannya.
Saya pun kata yang saya ingin menjadi seorang askar kerana ayah saya pernah bertugas sebagai askar.
Saya juga mahu menjadi seorang posmen kerana kerap melihat pak cik posmen menghantar surat di kampung dan saya mahu menjadi seorang guru kerana saya amat menghormati cikgu saya.
Ramai kawan sekelas saya yang mempunyai cita-cita yang lebih kurang begitu juga seperti mahu menjadi anggota polis, askar, ahli bomba, posmen dan guru.
Pada hari ini cikgu-cikgu turut bertanya kepada murid-murid soalan yang serupa mengenai cita-cita. Cuma bezanya murid-murid sekarang lebih terdedah dengan dunia kerjaya. Pilihan mereka pula adalah kepada kerjaya yang profesional seperti pensyarah, chef, peguam, arkitek dan akauntan.
Di sekolah, cikgu bertanya mengenai cita-cita. Di rumah juga ibu bapa akan bertanya mengenai cita-cita. Sejak dari zaman persekolahan, pelajar diasuh untuk punyai cita-cita.
Mereka yang tiada cita-cita atau kerjaya pilihan akan dianggap sebagai seseorang yang tiada matlamat hidup.
Maka sejak pada zaman persekolahan hingga menuntut di institusi pengajian tinggi, seseorang itu akan mengejar cita-cita yang sebenarnya hanyalah sebuah kerjaya. Subjek pelajarannya dipilih sesuai dengan kerjayanya. Apabila memasuki universiti, seseorang itu memilih kursus yang sepadan dengan cita-citanya.
Dalam pada itu, andainya terdapat mereka yang tidak memperoleh kursus yang menjadi pilihan untuk kerjayanya, dia akan bingung, hilang motivasi, malah sudah berasa gagal dalam hidup.
Walaupun kita memperoleh kursus yang sepadan dengan kerjaya pilihan, ia masih belum menentukan kita mendapat jawatan idaman.
Berikutan dengan permintaan pasaran, sebahagian besar daripada kita tidak dapat memilih kerjaya yang kita ingini. Ataupun kita sendiri telah menjawat jawatan yang berbeza kerana kita sendiri telah berubah haluan atau memilih kerjaya lain kerana desakan keperluan untuk bekerja.
Lihatlah, betapa kita semua telah diajar untuk mempunyai cita-cita dan memilih kerjaya. Secara tidak sedar, kita semua diasuh untuk memasuki pasaran pekerjaan untuk memenuhi kehendak pasaran dan pelan pemerintah.
Sebahagian besar daripada kita diasuh untuk menjadi pekerja atau makan gaji. Tidak ramai yang punyai pemikiran untuk bekerja sendiri.
Kerana itu, sebaik sahaja kita mendapat pekerjaan, kita berasakan itulah kejayaan. Dapat kerja, makan gaji, kahwin, beli rumah, beli kereta, ada keluarga dan berfantasi untuk hidup happily ever after.
Persoalannya, apakah kita sedar bahawa tujuan bekerja adalah untuk memperoleh rezeki untuk meneruskan kehidupan? Misi kita adalah untuk hidup dengan rezeki yang diperoleh sambil berjasa kepada orang tua, membina keluarga dan membawa kesemuanya ke Jannah.
Oleh kerana rezeki itu disalut dengan istilah kerjaya, maka kita sendiri membawa diri untuk berfikir di dalam kotak.Kita tahu bahawa rezeki itu di tangan ALLAH SWT tetapi kita sendiri tidak dapat mengupas ertinya.
Apabila rezeki itu ditentukan oleh Yang Maha Mengatur, ia bukan lagi jenis kerja yang kita buat tetapi makna rezeki yang disampaikan kepada kita.
Bila kita buka pemikiran bahawa apa yang kita peroleh adalah rezeki, maka kerjaya apa yang kita buat sudah menjadi tidak penting. Tanpa kita sedar, kita sendiri sudah melonggarkan kriteria kerjaya sendiri kerana hampir kesemua daripada kita punyai kerja yang bukan menjadi cita-cita asal kita sejak di bangku sekolah.
Apabila kita mengerti bahawa rezeki itulah yang sepatutnya menjadi tujuan, maka kita tidak perlu begitu setia kepada satu-satu bidang meskipun ia sudah tidak menguntungkan.
Ramai di antara kita begitu setia dalam perjuangan kerjayanya hingga berasa berdosa jika meninggalkannya. Kerana itu, ramai yang tidak mahu beralih kepada bidang yang boleh mendatangkan rezeki yang lebih baik.
ALLAH menentukan rezeki kita datang daripada sumber yang mana. Kita kenalah mencarinya.
Jika kita terus berpaut kepada bidang yang serupa dan berdoa banyak-banyak pun, jika takdirnya rezeki kita berada di bidang yang lain, kita kenalah cari. ALLAH itu Maha Adil. Kita akan dapat apa yang orang lain dapat.
Tetapi kita tidak dapat apa yang orang lain dapat kerana kita mencari rezeki di perigi yang buta.Sebahagian besar daripada kita diasuh untuk menjadi pekerja atau makan gaji."
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!