Bekerja dan berjuang kerana ALLAH

A
A
A

BEKERJA merupakan satu ibadah umum yang mana ia tidak seperti solat, puasa, zakat dan haji di mana tuntutannya adalah tertakluk kepada waktu dan kaedah yang khusus.

Sesuatu pekerjaan yang tidak bertentangan dengan syariah Islam dan dilakukan semata-mata untuk mendapatkan reda ALLAH SWT adalah ibadah biarpun pekerjaan tersebut adalah sekecil-kecil tindakan.

Ibadah umum ini memberikan ruang yang luas kepada kita untuk mendapatkan ganjaran daripada ALLAH SWT dalam setiap tindak tanduk dan ini merupakan satu sumber motivasi agar kita yang bekerja terus bekerja dan melakukannya dengan nilai tambah yang tinggi.

Mutu sesuatu pekerjaan bukan hanya berada pada kualiti sesuatu pekerjaan itu semata-mata tetapi ia juga bergantung kepada manfaat yang dapat diberikan kepada orang ramai.

Umpama seorang ilmuwan yang tinggi ilmunya tetapi tidak menyebarkan ilmunya kepada orang ramai serta tidak jua diamalkan untuk dirinya. Ini adalah satu kerugian kerana keilmuwannya hanya terbeku kepada dirinya sahaja.

Daripada Ibn Umar, telah bersabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik manusia adalah yang memberi banyak manfaat kepada manusia.” Diriwayatkan oleh At-Tabrani

Ibadah umum melalui pekerjaan ini amat bermakna kerana ia meliputi lebih daripada 60 peratus daripada jumlah keseluruhan masa yang dimiliki oleh kita, kerana itu apabila ia dinilai sebagai ibadah maka sebahagian besar kehidupan kita adalah untuk pengabdian kepada ALLAH SWT.

Ini adalah satu rahmat kepada seorang Muslim kerana setiap tindak tanduk baik yang dilakukan akan diberi ganjaran oleh ALLAH dan ia juga berperanan untuk menjauhkannya daripada azab api neraka.

Artikel Berkaitan:

Perbincangan di atas membawa kepada sumber motivasi sebenar kepada seseorang Muslim untuk terus berjuang dalam lapangan masing-masing bersyarat ia adalah tidak bertentangan dengan syariah.

Perjuangan yang dibuat adalah pada kadar yang maksimum untuk mengharapkan pengeluaran yang maksimum dari sudut kualiti dan kuantiti.

Reda

Dalam urusan seharian kita, ia tidak dapat lari daripada konsep reda dan izin ALLAH. Dengan izin ALLAH SWT maka sesuatu perkara itu dapat berlaku.

Namun bukan semuanya yang diizinkan ALLAH itu adalah datang dengan keredaan-Nya. Kayu ukur ‘reda’ inilah yang memainkan peranan penting bagi kita untuk menilai aktiviti dan tindakan yang diambil, sama ada ia patut dilakukan dan diteruskan atau perlu ditinggalkan.

Kayu ukur keredaan ALLAH adalah bukan perkara tersembunyi kerana ALLAH telah menyampaikan segala perkara yang disuruh dan dilarang berdasarkan panduan agama yang telah disempurnakan.

Apa yang perlu dilakukan oleh kita untuk mendapatkan keredaan ALLAH adalah dengan memenuhi segala apa yang telah diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang.

Di samping itu, keredaan sebagai hamba perlu dihadirkan ke dalam diri agar keikhlasan dapat diwujudkan dan ketulusan dapat dimiliki. Seorang Muslim yang berjiwa besar akan bersungguh dalam melakukan satu-satu pekerjaan di mana ia adalah tindakan yang bakal memperoleh keredaan ALLAH.

Islam meletakkan bahawa tangan yang di atas adalah lebih mulia daripada tangan yang di bawah. Tangan yang di atas adalah merupakan tangan yang memberi yang mana si pemberi sentiasa mencurahkan manfaat kepada yang lain.

Pemberi manfaat adalah mulia kerana dia mempunyai hati yang positif dan sikap yang terpuji. Sikap kesanggupan untuk berkongsi dan menyerahkan apa yang tersayang adalah amat mulia.

Bagi mereka keredaan ALLAH SWT adalah melebihi kepentingan peribadi. Mereka menyedari bahawa merahmati sesama makhluk dengan cara memberikan manfaat kepada yang lain adalah baik dan disukai ALLAH.

Pemberian manfaat kepada yang lain bukanlah berasaskan pengharapan timbal balas namun ia dibuat semata-mata untuk mendapatkan keredaan ALLAH.

Insan yang mulia adalah tidak bersifat ananiyyah (kesayaan) tetapi ia melihat sesuatu perkara secara jama’i atau menyeluruh.

Baginya kejayaan peribadi yang dicapai dengan menggadaikan kepentingan masyarakat adalah satu penganiayaan dan kezaliman.

Ia juga akan mewujudkan sikap bangsa yang mementingkan diri sendiri dan akhirnya masyarakat menjadi lemah dan tidak bersatu. Masyarakat yang lemah akan menghasilkan kejayaan yang lemah dan tidak berkualiti.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!