Kerosakan bumbung dua bilik SK Sawah Baru serius, kata Exco

Aminolhuda (kanan) melihat atap siling di makmal komputer di SK Sawah Baru Labis ketika melakukan tinjauan di sekolah tersebut kelmarin.
Aminolhuda (kanan) melihat atap siling di makmal komputer di SK Sawah Baru Labis ketika melakukan tinjauan di sekolah tersebut kelmarin.
A
A
A

LABIS - Kerajaan Johor memandang serius kerosakan pada bahagian bumbung dua buah bilik di Sekolah Kebangsaan (SK) Sawah Baru di sini dan akan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

Difahamkan, kebocoran pada bumbung makmal komputer dan perpustakaan tersebut merencatkan proses pembelajaran murid.

Exco Pendidikan, Sumber Manusia dan Teknologi, Aminolhuda Hassan berkata, hasil tinjauan, beliau mendapati kerosakan berkenaan adalah serius dan perlu dibaiki segera.

“Saya difahamkan pendawaian di kedua-dua bilik ini baru diganti dan jika kebocoran tidak dibaiki, ia dibimbangi akan menyebabkan kerosakan pada pendawaian.

“Selain itu, keselamatan warga sekolah di sini juga menjadi perkara utama sekiranya masalah ini tidak diatasi.

“Kita bimbang kerana kebocoran ini boleh memberi risiko terkena renjatan elektrik kepada murid serta guru yang menggunakan kedua-dua bilik tersebut terutama ketika hujan,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Parit Yaani berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di SK Sawah Baru di sini kelmarin.

Katanya, kelewatan membaiki infrastruktur di dua bilik berkenaan turut dibimbangi boleh menyebabkan kemudahan makmal komputer dan perpustakaan tidak dapat digunakan secara optimum oleh murid dan guru.

Artikel Berkaitan:

“Saya harap pentadbiran sekolah dapat menyediakan laporan lengkap kerosakan dialami supaya urusan menyediakan peruntukan dapat dibuat dengan segera.

“Saya akan membawa masalah ini kepada pihak jabatan supaya siasatan bagi menentukan kos boleh dijalankan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) seterusnya menyediakan peruntukkan bagi tujuan membaiki kerosakan tersebut,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!