Nasib ibu tunggal OKU dapat perhatian Perkeso
KUALA TERENGGANU - Nasib seorang ibu tunggal kurang upaya (OKU) bisu yang kehilangan suami akibat serangan jantung mendapat perhatian Skuad Prihatin Perkeso.
Mahadi Jusoh, 39, yang juga OKU bisu meninggal dunia pada 15 Mei lalu, meninggalkan isteri, Suriani Jusoh, 47, dan dua anak iaitu Mohd Hafizudin, 12, dan Abdul Hamid, 4.
Ibu kepada Suriani, Minah Hassan, 70, berkata, menantunya meninggal dunia secara mengejut pada Ramadan lalu, sebelum sempat ke tempat kerjanya di sebuah kilang plastik di Bukit Kor, Marang.
“Selepas arwah menantu saya meninggal dunia, Suriani menetap bersama saya. Dia tidak bekerja, hanya ambil upah menjaga anak saudaranya.
“Sebagai ibu, saya bersyukur dengan bantuan yang diberikan kerana sekurang-kurangnya ia dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan anak dan cucu yang masih lagi bersekolah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tok Pong, di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, kes Suriani agak unik memandangkan ia kali pertama pihaknya menguruskan permohonan daripada OKU bisu.
Katanya, adik Suriani iaitu Mohd Sani Jusoh, 32, datang ke Perkeso Ahad lalu untuk bertanyakan prosedur permohonan memandangkan adiknya hanya boleh berkomunikasi menggunakan isyarat.
“Sebagaimana kes-kes lain, kita akan membuat semakan dan kelayakan namun kes ini kita turun padang untuk melengkapkan dokumen mereka kerana masalah komunikasi.
“Tapi, hasil bantuan ahli keluarganya, hari ini kita menyampaikan bantuan faedah pengurusan mayat. Selain itu, waris iaitu isteri arwah akan mendapat pencen penakat secara bulanan kira-kira RM800 sebulan seumur hidup, begitu juga anak-anaknya akan dibantu sehingga berusia 21 tahun,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!