Rasuah sudah jadi budaya, sukar dibanteras
SHAH ALAM - Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Wan Anwar Wan Ibrahim mengakui selama 60 tahun rakyat terdedah dengan rasuah menjadikan mereka sukar untuk membuang tabiat tersebut sehingga menyukarkan tugas kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membanterasnya dalam waktu singkat.
Menurutnya, kerajaan yang mengamalkan rasuah juga lebih popular daripada kerajaan PH yang komited dalam membasmi tabiat buruk itu kerana rakyat sering digula-gulakan hasil rasuah tersebut sebelum ini.
“Ia (rasuah) sudah seakan menjadi budaya dan rakyat telah kecapi kesedapan hasil kegiatan itu sehingga menjadi kerajaan popular (kerajaan sebelum ini), maka tugas basmi rasuah yang dilakukan kerajaan PH dilihat agak sukar sebenarnya.
“Namun, kami akui dalam keadaan kita sebagai pemerintah Kerajaan Persekutuan dan parti politik, popularism itu perlu kita lihat dalam nak tawarkan satu manifesto atau dasar kepada masyarakat.
“Bagaimanapun, kita perlu ada kesedaran dalam membuat tawaran manifesto, kerajaan juga berperanan untuk mendidik masyarakat. Sebab itu antara tanggungjawab kerajaan yang tidak ramai orang lihat,” katanya pada Wacana Sinar Siri Ke-112 bertajuk Tanggungjawab Banteras Rasuah di Malaysia di Dewan Karangkraf di sini semalam.
Dalam pada itu, Wan Anwar berkata, dalam situasi kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi pilihan raya bagi mendapatkan sokongan rakyat, tidak bermakna segala kehendak rakyat perlu diikuti.
“Adakah kerana mahu sokongan rakyat, kita harus ikut 100 peratus kehendak rakyat, walaupun itu tidak betul.
“Kita tidak akan bergantung keuntungan jangka pendek semata-mata nak gadaikan keuntungan jangka masa akan datang ataupun generasi akan datang.
“Jadi sebab itu politik itu penting, cumanya jangan politik yang terlalu meraikan kehendak rakyat yang pada kita rasa tidak munasabah. Kita harus betul-betul insaf bahawa peranan kerajaan pada hari ini adalah di samping memenuhi kehendak rakyat adalah untuk mendidik rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!