'Terkejut saya tengok payung kuning'
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] "Saya memang terkejut apabila melihat payung kuning dan beberapa individu bersongkok lilit putih menghampiri kenderaan selepas 10 minit selepas kereta saya terbabas."
Demikian cerita Pegawai Penerangan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Jasliza Jamil selepas terlibat dalam kemalangan di Susur Persiaran Barat Ke lebuh Sentosa, Putrajaya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja kira-kira jam 7.20 pagi tadi.
Jelas Jasliza, kereta Perodua Alza yang dipandu seorang diri itu tiba-tiba hilang kawalan ketika melalui satu selekoh dan terbabas ke tengah pembahagi jalan.
"Pada waktu itu memang hujan renyai dan selalu saya lihat orang kemalangan di kawasan ini tapi hari ini berlaku kepada saya pula.
ARTIKEL BERKAITAN: Agong bantu mangsa kemalangan di Putrajaya
"Selepas itu saya duduk di bahagian belakang kereta dengan keadaan yang masih trauma dan tangan menggeletar tiba-tiba saya ternampak payung kuning menghampiri kenderaan.
"Kemudian saya nampak Yang di-Pertuan Agong dan baginda bertanyakan keadaan saya.
"Baginda turut menawarkan untuk membawa saya ke hospital tetapi saya ambil keputusan untuk ke balai polis terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Kejadian tersebut telah dimuat naik menerusi laman Instagram rasmi Istana Negara kira-kira jam 8.30 pagi tadi. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah turun dari kenderaan rasminya untuk memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan di Putrajaya.
Menurut hantaran pada laman itu, Seri Paduka Baginda dalam perjalanan untuk menghadiri Mesyuarat Pra Kabinet bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Melawati dekat sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!