Suami isteri cedera jatuh motosikal ketika cubaan ragut
BACHOK - Suami isteri cedera dalam kejadian cubaan ragut di Kampung Keting pagi semalam.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, Alias Awang, 65, cedera parah di lengan dan kaki kanan manakala isterinya, Rahimah Mat Hassan, 56, cedera di mulut.
Anak mangsa, Mohammad Ayub Alias, 35, berkata, kejadian itu berlaku ketika bapa dan ibunya dalam perjalanan pulang ke rumah dengan motosikal di Kampung Pauh Lima, Bachok dari Pasar Selasa di Kedai Menanti, Pasir Puteh.
Katanya, selepas keluar dari Pasar Selasa, bapanya menyedari diekori sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki.
"Ketika sampai di Kampung Keting, mereka cuba merampas beg di atas riba mek (ibu) yang menyebabkan mek dan ayah terjatuh dari motosikal.
"Selepas terjatuh salah seorang lelaki cuba merampas beg tapi apabila ada orang melalui jalan itu mereka terus melarikan diri," katanya.
Mohammad Ayub berkata, tindakan ibunya memulas tali beg menggagalkan cubaan lelaki merampas tersebut.
Katanya, ayahnya kini berada di wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan manakala ibunya menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Gunong, Bachok.
"Laporan polis akan dibuat selepas menguruskan ayah di hospital," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!