Gelaran Queen of Soul, memang sangat berat: Azharina
PENYANYI, Azharina Azhar, 34, berkongsi mengenai gelaran yang disandang, iaitu Queen of Soul.
Kata Azharina, gelaran tersebut dihadiahkan oleh peminatnya selepas menjuarai program GV3. Namun, jauh di sudut hatinya terbit rasa segan kerana berasakan masih belum layak untuk menerima gelaran tersebut.
“Selepas menang dalam pertandingan GV3 peminat mula menggelar saya dengan panggilan itu. Kata mereka saya menyanyi di zon tersendiri.
“Tetapi saya segan dan berasa malu juga sebab siapalah saya kerana gelaran sebegitu. Selayaknya kepada penggiat seni lain yang lebih besar nama mereka di dalam industri ini.
“Bagaimanapun, terserah kepada individu untuk menilai sama ada saya layak ataupun tidak. Terpulang pada masing-masing,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Harian petang Selasa.
Dalam pada itu, ditanya adakah Azharina berasa terpikul satu tanggungjawab yang besar dalam mengekalkan gelaran tersebut, jawabnya ringkas.
“Tidak dinafikan apabila diberikan gelaran Queen of Soul, memang sangat berat kerana masyarakat akan menjangkakan persembahan yang terbaik daripada saya.
“Disebabkan itu, saya akan cuba buat yang terbaik dalam setiap karier nyanyian saya. Saya akui saya ini seorang yang mementingkan kesempurnaan bagaimanapun bukan semata-mata untuk nama, akan tetapi untuk setiap karya saya.
“Saya menyanyi kerana jiwa dan ikhlas, itulah yang diajarkan daripada ibu bapa saya sejak dari kecil lagi. Menghargai apa yang diberi dan muzik ini adalah karya yang ada keikhlasan,” luahnya.
Bersandarkan pegangan itu, ternyata Azharina nampak bersungguh-sungguh dalam memastikan konsertnya akan datang ini berlangsung dengan jaya.
“Tiada apa yang boleh saya katakan lebih di sini sebab dalam hidup saya ini hanya mahu buat yang terbaik atas usaha yang telah dilakukan,” katanya.
Para peminat boleh melayari www.proticket.com.my untuk pembelian tiket Konsert Azharina Queen of Soul yang akan berlangsung pada 29 Jun ini di Teater Shah Alam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!