Ada pihak mahu pulang wang 1MDB
KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, terdapat segelintir individu dan syarikat yang menerima wang dari dana syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berusaha memulangkan wang yang diterima.
Azam berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 41 pihak yang dinamakan sebagai responden dalam tindakan saman sivil yang dikemukakan SPRM supaya wang tersebut dikembalikan kepada kerajaan.
Menurutnya terdapat responden yang telah melantik peguam untuk berunding dengan SPRM untuk usaha memulangkan semula wang yang diterima oleh mereka.
"Selepas kita failkan tindakan sivil itu, ada syarikat gunakan peguam untuk memulangkan wang tersebut," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Permohonan lucut hak 41 responden langkah tepat'
Azam ditemui ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya menyaksikan prosiding pendakwaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Azam bagaimanapun tidak memperincikan berapa responden yang mahu berbuat demikian.
Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.
Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada masa yang sama Azam berkata, pihaknya akan memanggil sesiapa sahaja yang berkaitan untuk tujuan siasatan.
Ianya sebagai jawapan daripada soalan dikemukakan samada SPRM akan memanggil persatuan wartawan dan jurugambar di Pulau Pinang yang disebut oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam yang didapati turut menerima sumbangan dana 1MDB.
Guan Eng dalam satu majlis di Cyberjaya semalam mendedahkan selain 41 senarai didedahkan SPRM baru-baru ini, terdapat beberapa lagi kesatuan, persatuan dan individu yang turut menerima sumbangan dana 1MDB berdasarkan senarai yang ada di Kementerian Kewangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!