Perdana Menteri Britain yang baharu diumum 23 Julai

Jeremy Hunt (kiri) dan Boris Johnson berentap bagi merebut jawatan Perdana Menteri Britain
Jeremy Hunt (kiri) dan Boris Johnson berentap bagi merebut jawatan Perdana Menteri Britain
A
A
A

LONDON - Pemenang persaingan bagi menggantikan Theresa May sebagai pemimpin Parti Konservatif dan Perdana Menteri Britain akan diumumkan pada 23 Julai ini.

Bekas Setiausaha Luar, Boris Johnson yang juga calon pilihan, setakat ini dilaporkan mendahului persaingan menentang pencabar tunggalnya, Jeremy Hunt yang merupakan Setiausaha Luar Britain.

Kedua-dua calon dipilih oleh 313 ahli Parlimen Parti Konservatif dalam kalangan 10 calon yang menawarkan diri, nasib Johnson dan Hunt bakal ditentukan kira-kira 160,000 ahli parti tersebut yang akan membuat keputusan akhir.

Undian pos akan mula dihantar mulai 6 hingga 8 Julai dan tarikh akhir mengembalikan undian ditetapkan pada jam 5 petang (waktu tempatan) 22 Julai ini.

"Pengumuman pemimpin Parti Konservatif yang baharu akan dibuat pada 23 Julai. Proses ini telah dipersetujui oleh kedua-dua calon," kata kenyataan parti pemerintah itu.

Sebaik pengganti disahkan, May dijangka bertemu Ratu Elizabeth II bagi menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri secara rasmi.

Pengganti beliau kemudian akan berkunjung ke Istana Buckingham bagi pengesahan lantikan.

Parti Konservatif tidak memiliki majoriti dalam Dewan Rakyat namun mentadbir menerusi pakatan dengan Parti Kesatuan Demokratik (DUP), Ireland Utara.

Artikel Berkaitan:

May mengumumkan peletakan jawatannya bulan lalu ekoran kegagalan mendapat sokongan Parlimen berhubung perjanjian Brexit selain berdepan bantahan daripada ahli Parlimen Parti Konservatif sendiri dan juga DUP.

Dalam pada itu, terdapat kemungkinan parti pembangkang utama, Parti Buruh akan menjalankan undi tidak percaya ke atas perdana menteri yang baharu bagi membuktikan mereka mempunyai sokongan untuk memerintah.

Semua ini perlu dilakukan menjelang 25 Julai apabila Parlimen bercuti pada musim panas atau menunggu sehingga ahli Parlimen kembali pada 3 September. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!