Masih ada ruang bincang penolakan imbuhan Pengarah FGV
KUALA LUMPUR - Masih ada ruang untuk berbincang susulan tindakan yang belum pernah berlaku sebelum ini oleh pemegang saham utama FGV Holdings Bhd yang menolak resolusi membabitkan pembayaran fi dan manfaat kepada ahli lembaga pengarah syarikat itu.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata beliau membaca laporan berita mengenai isu itu dan yakin pasti ada sebab penolakan itu.
“Ini bukan muktamad. Ia boleh diselesaikan menerusi rundingan dengan pihak yang berkaitan.
“Ia baru berlaku semalam, kita tunggu tindakan lanjut oleh pihak yang terlibat,” katanya kepada pemberita di luar acara simposium Gas Malaysia (MyGas) 2019, anjuran Persatuan Gas Malaysia (MGA).
Pada mesyuarat agung tahunan FGV semalam, tiga pemegang saham terbesar syarikat itu, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan 33.7 peratus kepentingan, Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) (lima peratus) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) (1.25 peratus), menolak resolusi mengenai pakej bayaran anggota lembaga pengarah.
Pemegang saham itu bagaimanapun meluluskan semua resolusi lain termasuk pemilihan semula ahli lembaga pengarah.
Pengerusi FGV Datuk Wira Azhar Abdul Hamid dipetik sebagai berkata ahli lembaga pengarah tidak mengetahui asas penolakan oleh pemegang saham itu dan kini berbincang mengenai tindakan bersesuaian, selain menyelesaikan isu itu.
Sementara itu, Dr Mohd Radzi berkata pengumumkan mengenai pelantikan pengerusi baharu Felda akan dibuat tidak lama lagi, menggantikan Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.
Megat Zaharuddin meletak jawatan kurang dari setahun selepas dilantik mengetuai agensi persekutuan itu pada 27 Julai tahun lepas, menggantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!