Perkeso ajak majikan berkolaborasi

Tarmizi (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Sandy kerana menjalinkan kolaborasi dengan pertubuhan itu hari ini.
Tarmizi (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Sandy kerana menjalinkan kolaborasi dengan pertubuhan itu hari ini.
A
A
A

KUANTAN – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menggesa agar majikan menjalinkan kolaborasi dengan pertubuhan untuk mengadakan program bagi mendapatkan tenaga kerja.

Ketua Zon Perkhidmatan Pekerjaan Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso negeri, Asyraful Munzir Ar Alhan berkata, kerjasama yang dijalinkan itu membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan sesuai dengan mereka dan sekali gus mengelak daripada pengangguran.

Menurutnya, mengambil contoh kerjasama yang dilakukan bersama majikan Camel Power (M) Sdn Bhd menjalankan program temuduga yang menawarkan 65 kekosongan pelbagai jawatan kepada pencari kerja.

“Syarikat itu merupakan antara pengeluar bateri automotif terbesar di Asia ini menawarkan jawatan Pegawai Pentadbiran, Penterjemah Bahasa, Pembantu Makmal, Juruteknik, Pemandu, Petugas Gudang dan juga Juruelektrik.

“Jadi, seramai 160 calon yang memohon jawatan dan ditemuduga adalah terdiri daripada kategori calon awam, calon pencarum Perkeso dan juga termasuk calon graduan universiti,” katanya ditemui pada bengkel kebolehpekerjaan hari ini.

Pengarah Perkeso negeri, Tarmizi Mukhtar menyampaikan sijil penghargaan kepada pengurus sumber manusia syarikat itu, Sandy Teh.

Bengkel tersebut mendedahkan persediaan menghadapi temuduga, profesionalisme, komunikasi berkesan dan juga tips-tips berjaya dalam temuduga.

Dalam pada itu, Asyraful Munzir berkata, pihaknya tidak mengenakan sebarang cas bagi penganjuran temuduga yang diadakan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, malah pihaknya akan menguruskan aktiviti penyediaan poster hebahan, jemputan kepada calon dan juga menguruskan sesi temuduga.

“Majikan hanya perlu menyediakan panel temuduga untuk menemuduga calon-calon yang telah sedia dijemput oleh pihak Perkeso,” katanya.

Pihak majikan yang berminat boleh menghubungi Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan di pejabat-pejabat Perkeso sekitar Pahang iaitu di Bentong, Temerloh dan Kuantan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!