Keutamaan tempat solat untuk wanita
SOLAT merupakan tiang agama yang wajib ke atas setiap umat Islam.
Pahalanya akan lebih berganda jika solat fardu itu ditunaikan secara berjemaah berbanding menunaikan solat bersendirian.
Namun, bagi wanita, di mana tempat yang paling baik untuk menunaikan solat? Adakah di masjid atau di rumah?
Bagaimana hukumnya jika kaum Hawa memilih untuk menunaikan solat di rumah? Adakah ia dikira berdosa?
Dalam hal itu, ada beberapa hadis yang boleh dirujuk untuk membincangkan masalah berkenaan.
Antaranya, sabda Rasulullah SAW: "Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih baik daripada solat di halaman rumahnya dan solat di bilik tidur/bilik persendirian adalah lebih baik daripada solat di rumahnya." (Riwayat Sunan Abi Daud)
Dalam sebuah hadis yang lain, baginda SAW bersabda: "Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku suka solat bersamamu. Baginda menjawab: “Sungguh aku mengetahui bahawa engkau suka menunaikan solat bersamaku akan tetapi, solatmu di bilik tidurmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di bilikmu, dan solatmu di bilikmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di rumahmu dan solatmu di rumahmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di masjid kaummu, dan solatmu di masjid kaummu lebih baik dibandingkan solatmu di masjidku.” Kemudian Ummu Humaid meminta didirikan masjid (tempat solat) di tempat paling tersorok dan paling gelap di bilik tidurnya. Maka, beliau solat di sana sehingga bertemu dengan ALLAH SWT." (Riwayat Imam Ahmad)
Justeru, tempat terbaik bagi seorang wanita untuk menunaikan solat adalah di rumah.
Maka, tidak berdosa jika wanita tersebut memilih untuk solat di rumahnya.
Bagaimanapun, jika wanita berkenaan ingin menunaikan solat secara berjemaah di masjid, ia tidak menjadi kesalahan, malah lebih digalakkan.
Namun, perlu diingatkan bahawa terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi oleh wanita tersebut antaranya:
1. Mendapat keizinan suami.
2. Menjaga aurat, tidak berhias-hias (tabarruj) dan memelihara pandangan.
3. Tidak memakai wangi-wangian.
4. Tiada percampuran lelaki dan perempuan serta segera pulang ke rumah setelah selesai solat.
Semoga perkongsian itu boleh menjadi panduan kepada kaum Hawa yang masih tertanya-tanya berkaitan tempat solat yang terbaik buat wanita.
(Al-Kafi #936: Tempat Solat yang Terbaik bagi Seorang Wanita, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!