Operasi Markas Angkatan Bersama Kem Kementah berakhir
KUALA LUMPUR - Pengoperasian Markas Angkatan Bersama (MK AB) di bangunan Kem Kementah, Jalan Padang Tembak di sini diakhiri dengan satu upacara perbarisan paluan berundur, hari ini.
Markas yang ditubuhkan pada 6 September 2004 itu bakal dipindahkan ke Kompleks MK AB Kem Sungai Panching, Kuantan.
Seramai 56 pegawai dan 125 anggota diketuai Asisten Ketua Staf J5, Laksamana Pertama Datuk Saifuddin Kamarudin terlibat dalam perbarisan tersebut.
Simbolik pengunduran MK AB menyaksikan penyerahan bendera oleh Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin.
Pegawai Media MK AB, Leftanan Komander Khairul Anuar Marzuki berkata, markas berkenaan telah dirasmikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan.
Menurutnya, tujuan penubuhannya adalah bagi memenuhi keperluan penubuhan sebuah Markas Pemerintahan Angkatan Bersama.
"Ketua Staf Markas ATM, Laksamana Madya Datuk Ramlan Mohamed Ali, merupakan Panglima Pemerintahan Angkatan Bersama (PPAB) yang pertama.
"Organisasi ini pernah ditangguhkan sementara pada Ogos 2005 sebelum beroperasi semula sebagai MK AB pada 1 Disember 2006," katanya.
Jelasnya, penjenamaan itu menumpukan kewujudan perjawatan keanggotaan yang kekal dan bertugas di sebuah markas yang tersendiri bagi pengendalian operasi yang lebih mantap.
"MK ATM telah memacu usaha untuk memperolehi perjawatan yang tetap.
"Melalui usaha ini dan sokongan Panglima Angkatan Tentera, maka perjawatan organisasi telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam secara rasminya pada 16 Julai 2007," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!