Empat didakwa miliki, jual TV Android & AV Sender tak diperakui
KUALA LUMPUR - Gara-gara memiliki dan menjual kotak TV Android dan AV Sender yang tidak diperakui, empat individu dihadapkan ke mahkamah dan menerima hukuman denda berjumlah RM70,000.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Mohd Shafie Harun berkata empat individu terbabit didakwa di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
“Dalam kes pertama, OKS (Orang Kena Saman) yang dikenali sebagai Chen Kar Seng yang merupakan pemilik perniagaan Media Home Enterprise telah didakwa memilki sebanyak 146 kotak TV Android yang tidak diperakui dengan niat untuk menjualnya.
“OKS telah mengaku bersalah dan didenda oleh mahkamah sebanyak RM40,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu,bagi kes kedua pula, beliau berkata tiga individu iaitu Hing Fook Young, Tan Kim Sia dan Ow Kee Foo yang merupakan pengarah syarikat MSB Technology (Malaysia) Sdn Bhd didakwa menjual tujuh unit AV Sender yang bertentangan dengan standard, tidak diperakui dan dilekatkan dengan tanda label pemerakuan yang salah.
Ketiga-tiga OKS itu mengaku bersalah dan mahkamah mengenakan denda sebanyak RM30,000. Selain itu kesemua barang-barang kes berkenaan diserahkan kepada pihak MCMC untuk dilupuskan.
Sementara itu, Mohd Shafie berkata MCMC akan terus menjalankan operasi membanteras penggunaan peralatan komunikasi yang tidak diperakui di negara ini.
“Orang awam juga diingatkan supaya membeli dan menggunakan peralatan komunikasi yang memaparkan label MCMC sahaja bertujuan melindungi keselamatan pengguna selain mengelak gangguan kepada perkhidmatan komunikasi lain,”tegasnya.
Bagi memastikan peralatan komunikasi yang digunakan adalah sah dan diperakui, para pengguna disyorkan untuk menyemak status peralatan itu menggunakan aplikasi mudah alih Check Your Label ataupun secara dalam talian di laman sesawang https://ecomm.sirim.my. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!