AirAsia kaji laluan penerbangan baharu Kuala Terengganu-China

Ahmad Samsuri (tengah) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman (kanan) ketika menerima kunjungan hormat Pegawai Eksekutif AirAsia Group Berhad, Tan Sri Tony Fernandes di pejabatnya di Wisma Darul Iman, Isnin lalu. - FOTO IHSAN MEDIA MB TERENGGANU
Ahmad Samsuri (tengah) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman (kanan) ketika menerima kunjungan hormat Pegawai Eksekutif AirAsia Group Berhad, Tan Sri Tony Fernandes di pejabatnya di Wisma Darul Iman, Isnin lalu. - FOTO IHSAN MEDIA MB TERENGGANU
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Berhad (AirAsia) kini sedang mengkaji laluan baharu dari Kuala Terengganu ke China dalam rangka meningkatkan kunjungan pelancong dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, masih terlalu awal untuk memutuskan perkembangan terbaharu kerana perkara itu masih dipertimbangkan.

“Bagi laluan terus ke China, keputusan belum ada kerana ia masih dalam kajian dan saya jangka mereka akan beri jawapan dalam tempoh beberapa bulan lagi,” katanya.

Beliau berkata, selain China, dua lagi destinasi lain yang juga sedang dipertimbangkan ialah Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“AirAsia juga sedang mempertimbangkan untuk mengadakan laluan tambahan bagi penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke Pulau Pinang dan akan mengadakan kembali laluan dua hala dari Kuala Terengganu ke Johor Bahru,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika diminta mengulas hasil pertemuan menerusi kunjungan hormat oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Berhad, Tan Sri Tony Fernandes di pejabatnya di Wisma Darul Iman, Isnin lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya berbesar hati dengan kunjungan itu dan berharap ia dapat memberi impak yang baik terhadap ekonomi negeri ini.

“Ini antara perancangan kita untuk meningkatkan ekonomi Terengganu. Ada beberapa cadangan dan projek yang dicadangkan beliau bersama rakan perniagaannya dari Indonesia khususnya dalam aspek jelajah pelancongan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

“AirAsia juga menyatakan minat mempertimbangkan penerbangan terus ke destinasi berkenaan bersandarkan beberapa potensi baharu pelancongan di Terengganu termasuk Tasik Kenyir dan jambatan angkat yang menjadi mercu tanda ikonik baharu di negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, kerajaan negeri terutama Jabatan Pelancongan telah merangka pelbagai program pelancongan untuk dinikmati pelancong yang mengunjungi Terengganu.

“Setiap pelancong yang datang sudah tentu mempunyai sasaran aktiviti yang boleh dilakukan jika bercuti dan kita akan rancakkan lagi program pelancongan kita dalam usaha menarik kedatangan pelancong dengan lebih agresif," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan terbaharu jambatan angkat, katanya, operasi restoran mewah di jambatan itu dijangka akan bermula akhir tahun ini.

“Walaupun jambatan ikonik ini akan dibuka Ogos depan, kita masih belum buat keputusan operator yang akan beroperasi di situ dan sedang mendapatkan 'Request For Proposal' (RFP) daripada pihak yang berminat untuk menjadi operator restoran di situ termasuk anak syarikat kerajaan negeri, hotel dan restoran makanan segera.

“Operator restoran di jambatan angkat tidak akan memasak makanan di situ atas faktor keselamatan. Bayangkan sekiranya berlaku kebakaran pada ketinggian 70 meter itu, risikonya sangat besar.

“Kita akan pastikan operator yang terpilih nanti sesuai dengan imej dan prestij jambatan angkat sebagai mercu tanda ikonik di negeri ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!