'Buru sehingga ke lubang cacing'

Zainuddin (tiga dari kiri) dan Annuar Amri (dua dari kanan) menunjukkan beberapa gegantung along yang diturunkan oleh polis semalam.
Zainuddin (tiga dari kiri) dan Annuar Amri (dua dari kanan) menunjukkan beberapa gegantung along yang diturunkan oleh polis semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah serius dalam membendung sindiket along yang aktif mencari mangsa dengan mengantung gegantung iklan menawarkan pinjaman dan akan memburu dalang-dalang tersebut sehingga ke lubang cacing, tegas Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob.

Jelasnya, pihak polis sudah mempunyai maklumat pihak yang telah memasang gegantung haram tersebut hasil kerjasama orang ramai dan juga maklumat yang diperolehi melalui kamera litar tertutup (CCTV).

"Kita bukan sahaja mahu menurunkan poster-poster menawarkan pinjaman along ini tapi juga mahu mencekup mereka yang menampal ataupun mengedarkan kad-kad untuk memberikan pinjaman.

"(Modus operandi) mereka ini selepas mengantung poster mereka akan lari untuk elakkan indentiti mereka diketahui. Tetapi kita ada maklumat melalui orang ramai dan CCTV. Kami tidak akan berhenti menyiasat dan mengesan mereka sehingga ke lubang cacing," katanya pada sidang akhbar selepas operasi menurunkan kira-kira 250 gegantung pinjaman along sekitar Simpang Kuala, Alor Setar, di sini hari ini.

Operasi yang digerakkan melalui kekuatan 10 pegawai dan 20 anggota polis dengan kerjasama penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) itu bermula jam 10 pagi sehingga 4 petang.

Zainuddin (kanan) turut membantu menurunkan gegantung pinjaman along di Simpang Kuala, Alor Setar semalam.
Zainuddin (kanan) turut membantu menurunkan gegantung pinjaman along di Simpang Kuala, Alor Setar semalam.

Turut bersama dalam operasi tersebut ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Annuar Amri Abd Muluf.

Menurut Zainuddin, sindiket tersebut juga cuba mengaburi pihak berkuasa melalui penyamaran dan berselindung di sebalik nama pusat tuisyen dan pusat bahasa bagi mengelakkan usaha mereka dikesan polis.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya cara-cara iklan along ini juga telah bertukar wajah dengan berselindung di sebalik poster iklan bahasa dan banyak lagi untuk mengelak mereka dikesan.

"Tetapi mereka masih lagi meninggalkan nombor telefon dan apabila ada orang yang menghubungi nombor tersebut maka akan ada operator kepada sindiket along tersebut yang menjawabnya. Jadi kita memantau kaedah-kaedah baharu yang dilaksanakan ini (bagi membendungnya)," katanya.

Tambahnya, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dan beralih kepada pinjaman along kerana kadar faedahnya akan menjerut peminjam kerana tempoh bayarannya pendek selain terdedah kepada bahaya.

"Sindiket ini akan menggunakan pelbagai kaedah untuk memberi tekanan kepada peminjam termasuk menyerang rumah, mengecat, menggangu sehingga kepada tahap mendatangkan kecederaan parah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!