Oman mahu buka kedutaan di Palestin
MUSCAT - Oman semalam memaklumkan ia memutuskan untuk membuka kedutaan di wilayah Palestin sebagai tanda sokongan kepada penduduk Palestin.
Keputusan itu menjadikan Muscat sebagai negara Teluk Arab pertama berbuat demikian.
Ia bertepatan dengan bengkel ekonomi diterajui Amerika Syarikat (AS) di Bahrain untuk mendedahkan pelan damai Timur Tengah kontroversi yang dijangka tidak akan mengiktiraf kemerdekaan Palestin.
"Sebagai simbol sokongan berterusan, pemerintah Oman, Sultan Qaboos Said al Said memutuskan untuk membuka misi diplomatik di peringkat kedutaan di Palestin," kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan di Twitter.
Delegasi dari Kementerian Luar akan ke Ramallah untuk mengambil langkah yang perlu bagi pembukaan kedutaan tersebut.
Difahamkan, Oman tidak menyertai bengkel ekonomi di Manama tersebut di mana pentadbiran Presiden AS, Donald Trump berharap dapat meningkatkan pelaburan AS$50 bilion (RM207 bilion) untuk memperbaiki keadaan ekonomi Palestin.
Persidangan itu turut diboikot Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang bimbang pentadbiran AS akan menggunakan wang untuk melaksanakan penyelesaian politik pro-Israel. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!