'Pulanglah Adam, Fairus...'
PONTIAN - 'Pulanglah Adam dan Fairus'. Hanya itu yang diharapkan pasangan suami isteri apabila dua orang anak mereka hilang selepas keluar dari rumah di Blok A Flat Taman Megah untuk ke sekolah, Isnin lalu.
Mohd Taufiq Mohd Tarmizi, 37, berkata, dia dan isterinya Sofiza Zahari, 37, bimbang dengan keadaan Mohd Adam, 16, dan Mohd Fairus 12, kerana mereka meninggalkan rumah tanpa membawa telefon, wang dan pakaian.
“Tiada tanda mereka berdua hendak larikan diri.
“Ini kerana telefon bimbit, pakaian, wang malah kad pengenalan masih berada di dalam bilik mereka,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurutnya, kedua-dua anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum keluar ke sekolah pada pagi Isnin lalu, walaupun kedua-duanya didapati telah ponteng sekolah pada hari sebelumnya.
“Adam dan Fairus cium tangan saya sebelum ke sekolah kira-kira jam 6.50 pagi. Biasanya saya hantar mereka ke sekolah sebelum ke tempat kerja.
“Tetapi hari itu, mereka tumpang motosikal kawan. Adam bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perhentian, jarak sekolah dengan rumah lebih kurang 3 kilometer.
“Faisal pula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pontian Besar, jarak sekolah dengan rumah lebih kurang 2 kilometer,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.
Menurutnya, Ahad lalu dia dimaklumkan Fairus tidak datang ke sekolah pada hari itu oleh guru besar sekolahnya.
“Lebih kurang jam 4 petang mereka pulang ke rumah, selepas mereka solat dan makan saya tanya ke mana mereka pergi hari ini.
“Mereka jawab ke sekolah, lepas dirotan mereka beritahu ke cyber cafe dan beraya rumah kawan.
“Bapa mana yang tak marah jika anak tak sekolah. Tidaklah saya rotan teruk sangat cuma rotan kaki saja. Lepas itu mereka berjanji tak mahu buat lagi,” katanya.
Dia juga memaklumkan, kemudian dia mengambil cuti pada hari Isnin untuk bertemu dengan guru sekolah bagi mengetahui lebih lanjut tentang ketidakhadiran anak-anaknya itu.
Namun, sebaik tiba di SMK Sri Perhentian pada jam 10 pagi, guru memaklumkan Mohd Adam tidak hadir.
“Saya terus ke SK Pontian Besar. Fairus juga tiada di sekolah. "Berderau jantung saya, terus saya cari mereka di cyber cafe, tapi mereka tiada. Saya cari mereka di hentian bas, tepi laut dan masjid-masjid namun kelibat mereka langsung tiada,” katanya.
Rakaman CCTV
Mohd Taufiq berkata, seorang penduduk Taman Megah yang juga seorang guru datang ke rumahnya kira-kira jam 12 malam untuk memaklumkan tentang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada seorang penduduk yang melihat kelibat dua orang pelajar sekolah menaiki Proton Exora Putih.
“Saya terkejut bila melihat kelibat dua orang pelajar itu mirip Adam dan Fairus, rakaman itu menunjukkan masa jam 7.20 pagi,” katanya.
Dengan bantuan penduduk, pemandu Proton Exora Putih yang juga penduduk Taman Megah berjaya dikesan.
“Lelaki berusia lingkungan 30-an itu beritahu dia kasihan tengok anak-anak saya berjalan kaki nak ke sekolah, jadi dia pun tumpangkanlah.
“Dia juga kata, Adam dan Fairus beritahu mereka dibuang sekolah. Mereka minta tolong lelaki ini hantar mereka pulang ke rumah berdekatan kawasan sebuah pasar raya di bandar Pontian,” katanya.
Alami mimpi buruk
Dalam pada itu, Sofiza berkata, dia kerap mengalami mimpi buruk setiap kali melelapkan mata selepas kedua-dua anaknya hilang.
Jelasnya, Adam dan Fairus sangat rapat walaupun beza usia empat tahun.
“Adam dan Fairus memiliki saiz badan yang lebih kurang sama. Kedua-duanya agak berisi dan berkulit cerah.
“Biasanya Adam akan pertahankan adiknya Fairus. Mereka sentiasa bersama selepas waktu sekolah,” katanya.
Enggan mengulas lebih lanjut tentang mimpi yang dialami, Sofiza berkata wajah Adam dan Fairus begitu jelas di dalam mimpi namun mereka seakan susah hendak pulang.
“Saya sentiasa buat solat hajat agar kedua-dua anak saya dilindungi dan segera pulang,” katanya.
Mohd Taufiq berkata ramai yang datang ke rumah dan menghubunginya untuk bertanyakan tentang anak mereka.
“Ada jawatankuasa masjid dan surau yang hubungi saya untuk buat solat hajat bagi mendoakan anak saya segera ditemui.
‘Saya dan isteri amat hargai bantuan yang dihulurkan,” katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang
Laporan polis berhubung kehilangan kedua anaknya itu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, kira-kira jam 4 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, siasatan diklasifikasikan sebagai orang hilang dan usaha mencari sedang dijalankan.
“Pihak polis juga sedang giat mengesan mangsa. Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada IPD Pontian atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohamad Fikri di talian 013-4149917 / 07-6871222,” katanya.
Fakta kes:
24 JUN (ISNIN)
6.50 pagi - Mohd Adam dan Mohd Fairus keluar dari rumah untuk ke sekolah.
10 pagi - Bapa Mohd Taufiq ke sekolah untuk bertemu guru bagi membincangkan masalah ketidakhadiran, namun mendapati anaknya tiada di sekolah.
11 tengah hari - Mohd Taufiq mencari anak-anaknya di cyber cafe, perhentian bas dan masjid.
12 tengah malam - Penduduk kongsi rakaman CCTV lihat kelibat dua beradik menaiki Proton Exora Putih
25 JUN ( SELASA)
10 pagi - Mohd Taufiq cuba menjejaki pemilik Proton Exora Putih dengan bantuan penduduk. Pemilik Exora menjelaskan hanya menumpang dua pelajar terbabit ke rumah selepas diberitahu mereka dibuang sekolah
4 petang - Mohd Taufiq buat laporan polis di IPD Pontian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!