Pergerakan masih lemah: Izam diserang angin ahmar
ISTERI kedua penyanyi bekas kumpulan EYE, Izam, iaitu Rosmawati Hassan memberitahu suaminya diserang angin ahmar selepas pulang dari Kuantan, Pahang pada Isnin lalu.
Menurut laporan mStar Online, Izam atau nama penuhnya Mohd Izam Arshad, dikejarkan ke Hospital Serdang kerana dikatakan rebah di ruang tamu kediamannya selepas mengalami kebas-kebas pada bahagian badan.
Dalam pada itu, kata isteri kedua Izam, pergerakan suaminya terbatas sehingga memerlukan kerusi roda untuk bergerak.
"Dia baru sahaja dipindahkan ke wad dari zon kritikal. Alhamdulillah, keadaan dia semakin baik berbanding semalam, tapi bacaan darah dan kencing manis masih tinggi. Semalam bacaan darah tinggi mencecah 210 dan hari ini turun 151.
"Tapi... dia masih lemah lagi, belum boleh dapat angkat tangan dan tak boleh berjalan.
"Buat masa ini dia hanya boleh duduk sahaja dan kalau nak ke bilik air pun dia perlukan kerusi roda," ujar isteri kedua.
Kata Rosmawati lagi, suaminya perlu menjalani beberapa rawatan susulan, selain terpaksa mengambil ubat-ubatan.
"Sekarang ini fokus untuk rawatan susulan selepas itu dia perlu menjalani beberapa sesi fisioterapi dan perlu mengambil ubat," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!