Warga emas dipercayai hilang selepas keluar dari rumah
KUALA PILAH - Seorang warga emas buntu memikirkan keselamatan suaminya yang gagal dikesan selepas keluar rumah pada Isnin lalu.
Kali terakhir Normah Talib, 67, yang tinggal di Kampung Jalan Anak Air Sepam, Rembang Panas di sini, melihat suaminya, Abd Hamid Minhaj, 73, jam 8 pagi sebelum ke Klinik Kesihatan Juasseh untuk rawatan susulan.
Katanya, sebelum keluar suaminya membaca surat khabar di anjung rumah dan keadaannya kelihatan baik sahaja.
"Saya sempat pesan supaya jaga rumah. Tapi bila saya pulang jam 12 tengah hari, saya tengok pintu dan tingkap rumah semuanya bertutup dan suami pula tiada.
"Waktu itu saya fikir dia pergi ke kebun atau ke pekan Juasseh. Tapi bila sudah jam 1 tengah hari dia masih belum pulang, saya mula rasa tidak sedap hati," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, berdasarkan maklumat dari jiran, suami telah menumpang motosikal jirannya untuk ke pekan Juasseh jam 9 pagi dengan alasan motosikalnya di bengkel.
Katanya, dia musykil kerana motosikal suaminya tidak rosak dan ada di rumah.
Sementara itu anaknya, Suhaimi Abd Hamid, 39, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah berkata, penduduk kampung cuba mencari bapanya di pekan Juasseh dan Kuala Pilah, tetapi gagal dikesan.
"Saya juga cari ayah di sekitar bandar Seremban termasuk di Stesen Keretapi dan Terminal 1, tapi tiada. Saya pun sudah buat laporan di Balai Polis Kuala Pilah semalam (kelmarin).
"Saya betul-betul buntu sekarang dan bimbang keselamatan ayah. Ada orang awam yang hubungi saya beritahu ternampak ayah selepas kehilangannya tular di media sosial, tapi ayah gagal juga dikesan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!