Kanak-kanak perlu dana beli alat bantuan pendengaran

Nurfazeila bersama Khairel yang memerlukan alat bantu dengar selepas disahkan mengalami masalah pendengaran tahap kritikal.
Nurfazeila bersama Khairel yang memerlukan alat bantu dengar selepas disahkan mengalami masalah pendengaran tahap kritikal.
A
A
A
KOTA TINGGI - Seorang ibu tunggal di Felda Air Tawar 4 di sini memerlukan dana kira-kira RM6,000 untuk menampung kos pembelian alat bantuan pendengaran anak kembarnya.

Nurfazeila A Rahman, 28, berkata, anaknya Khairel Raihan Abdul Malik, 6, kini mengalami masalah pendengaran tahap kritikal di mana telinga kanannya kini sudah tidak boleh mendengar.

Menurutnya, telinga kiri anaknya juga mempunyai masalah yang sama namun belum sampai ke tahap kritikal.

"Bagi tempoh tiga bulan ini doktor membenarkan Khairel memakai alat bantu dengar yang diwakafkan di hospital sementara membeli alat bantu dengar sendiri.

"Doktor memaklumkan kos bagi alat itu sekitar RM6,000. Khairel merupakan anak kembar di mana abangnya bernama Khairul Raihan serta mempunyai seorang adik bernama Kayra Aleesya Raihana, 5.

"Alhamdulillah setakat ini abang dan adiknya sihat dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, sejak dilahirkan Khairel mempunyai masalah kesihatan berkaitan saraf bahkan dia juga kini dikategorikan sebagai autisme.

Katanya, selain masalah pendengaran, anak istimewa itu juga perlu memakai lampin pakai buang seumur hidupnya.

"Ekoran masalah saraf dialami Khairel tidak dapat merasai sendiri bila dia buang air kecil dan air besar jadi setiap masa perlu pakai lampin. Saya hanya bekerja sambilan di kedai makanan segera tidak dapat bekerja sepenuh masa kerana perlu membawa Khairel untuk rawatan bulanan.
Artikel Berkaitan:


"Agak buntu juga untuk mencari wang bagi membeli alat bantu dengar yang doktor minta. Tambahan pula tahun depan Khairel akan mula memasuki darjah satu jadi alat tersebut amat penting ketika dia berada di sekolah," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!