Kedah dapat suntikan semangat bertemu Felda United
KEMENANGAN Kedah ke atas PJ City FC malam tadi bukan sahaja melonjakkan pasukan itu ke tempat ketiga Liga Super, malah menjadi suntikan semangat untuk menghadapi Felda United di separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang pada Ahad ini.
Ketua Jurulatih pasukan Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, bagaimanapun pasukannya perlu lebih bersedia dan mengambil iktibar atas sedikit kelalaian dalam perlawanan malam tadi yang menyebabkan pasukan lawan bangkit menjaringkan dua gol.
“Tahniah kepada pemain dan syabas juga kepada pasukan PJ City FC yang bangkit menyamakan kedudukan 2-2 pada separuh masa kedua. Mereka tidak berputus asa dan bangkit selepas ketinggalan 2-0 sebelum itu.
“Ini memberi kami pengajaran bahawa ketinggalan jaringan bukan pengakhiran selagi tidak tamat 90 minit perlawanan, pemain mesti fokus mengatur permainan dan berusaha mencari gol,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan yang akhirnya menyaksikan kemenangan 3-2 untuk Kedah di Stadium Darul Aman di sini, malam tadi.
Aidil Sharin juga berharap pada pertemuan dengan Felda United nanti, para pemainnya dapat mempamerkan aksi dengan semangat berpasukan yang tinggi serta tidak ambil mudah walaupun Kedah membawa kelebihan satu gol dalam perlawanan itu.
“Mana-mana pasukan mahukan kemenangan, tetapi mainlah penuh semangat berpasukan, harmoni dan memahami tugas antara satu sama lain untuk menang.
“Pemain jangan banyak melakukan kesilapan, jangan terlalu yakin dan perlu cepat memperbaiki kelemahan sebelum perlawanan penting itu,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perlawanan malam tadi, Aidil Sharin turut memuji semua pemain terutama kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar yang menunjukkan prestasi luar biasa.
Katanya, Baddrol bukan sahaja membantu menjaringkan satu gol, malahan membuat hantaran-hantaran menarik yang sekali gus mencipta peluang kepada rakan sepasukan membuat jaringan.
“Baddrol ada di mana saja dengan hantaran lintang dan pendek yang menarik, saya gembira dengan prestasinya itu dan harap ianya kekal pada perlawanan penting Ahad ini,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih pasukan PJ City FC, K. Devan berkata perubahan corak permainan yang lebih agresif terutama ketika perebutan bola satu lawan satu di separuh masa kedua membolehkan pasukannya bangkit daripada ketinggalan dua jaringan di separuh masa pertama.
“Pemain kita banyak memberi peluang Kedah buat hantaran jauh dan lintang menyebabkan mereka mendapat jaringan dan itu kelemahan yang saya nampak, namun kami perbaiki dan jika diberi 10 atau 15 minit lagi, kami yakin dapat satu mata kerana corak kami lebih meyakinkan dan banyak menguasai bola,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!