Kilang minyak masak dipercayai punca pencemaran bau
SEMENYIH - Sebuah kilang pemprosesan minyak masak diperiksa selepas dipercayai penyebab kepada pencemaran bau pada sumber air mentah sehingga Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih diarah henti tugas semalam.
Difahamkan, agensi terlibat termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Unit Pengurusan Bencana Negeri, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat serta Majlis Perbandaran Kajang ke kilang itu bagi pemeriksaan jam 8.30 pagi tadi.
Sumber JAS memaklumkan, LRA Semenyih kembali beroperasi selepas disahkan selamat namun pemeriksaan tetap dijalankan di kilang terlibat bagi memastikan insiden sama tidak berulang.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kebocoran dikesan pada saluran paip mahupun perparitan namun tidak menolak bau datangnya dari kebocoran saluran bawah tanah.
"Mungkin ada paip bawah tanah yang bocor sebab hasil pemeriksaan dijalankan tidak menemukan sebarang kebocoran pada laluan saluran pada kilang tersebut.
"Bagaimanapun sampel tanah pada saluran kilang tersebut telah di ambil bagi tujuan kajian makmal," katanya yang ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, pencemaran bau yang dimaksudkan adalah minyak sawit yang akan di proses menjadi minyak masak.
"Aduan bau datang dari orang luar yang bimbang akan kemungkinan pencemaran kimia, tapi menurut orang awam bau tersebut normal," katanya.
Difahamkan kemungkinan kilang tersebut diarah henti tugas buat sementara bagi tujuan mengemukakan pelan saluran bagi semakan.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman berkata, pihaknya sedang menunggu laporan lawatan tapak agensi terlibat dan akan memberikan kenyataan berhubung tindakan MPKj dalam masa terdekat.
ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran Sungai Semenyih berpunca dari sebuah kilang
Terdahulu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), ahli kumpulan Air Selangor, mengesahkan pencemaran bau dikesan berlaku di Sungai Semenyih yang mengakibatkan bekalan air bersih di beberapa kawasan sekitar terjejas malam tadi.
Beberapa kawasan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terkesan dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah bermula pada jam 9 malam tadi.
Bagaimanapun, LRA Sungai Semenyih kembali beroperasi jam 6 pagi tadi dan bekalan air di kawasan terjejas akan pulih secara berperingkat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!